MELAKA – Seorang bapa yang didakwa merogol anak tirinya bakal berdepan 32 pertuduhan termasuk merogol, melakukan amang seksual dan seks menggunakan objek terhadap anak tirinya berusia 16 tahun, tiga tahun lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek berusia 36 tahun akan berdepan pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka esok dengan isterinya yang turut direman menjadi saksi pendakwaan.
Menurutnya, siasatan kes itu sudah selesai dan telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) semalam bagi melengkapkan pendakwaan.
“Esok, suspek yang bekerja sebagai pengajar kelas renang akan berdepan 12 pertuduhan rogol di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
“Lelaki itu juga akan didakwa bagi 12 tuduhan melakukan amang seksual mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Suspek juga akan dituduh atas lapan pertuduhan melakukan hubungan seks menggunakan objek di bawah Seksyen 377 CA KK,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Seksyen 376 (1) KK memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan manakala Seksyen 376 (2) pula penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun berserta sebatan.
Manakala Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 pula boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebatan.
Bagi setiap kesalahan melakukan seks menggunakan objek pula mengikut Seksyen 377CA Kanun KK pula jika, sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.
Secara keseluruhannya, suspek berdepan 32 pertuduhan menjadikan jumlah maksimum hukuman dikenakan sebatan dan 830 tahun penjara jika sabit kesalahan.
Mengulas lanjut, Zainol berkata isteri supek yang turut direman sejak 9 April sehingga 15 April ini juga dijadikan saksi pendakwaan dalam kes ini.
Menurutnya, siasatan mendapati mangsa mendakwa dirogol oleh ayah tirinya sejak awal Januari 2020.
“Mangsa ketika itu sedang tidur di dalam biliknya sebelum didatangi suspek yang bertindak menutup mulutnya sebelum meraba dan merogol mangsa tanpa kerelaannya.
“Ketika kejadian isteri suspek sedang tidur di bilik rumah mereka di Taman Maju Jasin,” katanya.
MalaysiaGazette pada 9 April lalu melaporkan sepasang suami isteri direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan yang juga anak tiri kepada lelaki berkenaan sejak tiga tahun lalu.
Pasangan itu ditahan sejurus tiba dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 kira-kira pukul 9.30 malam sebelumnya.
Penahanan dibuat selepas mangsa yang sebelum ini dilaporkan hilang di Jasin dan merupakan anak kandung kepada wanita itu membuat laporan menjadi mangsa rogol bapa tirinya itu sejak tiga tahun lalu
Wanita itu yang bekerja sebagai peniaga nasi lemak juga ditahan kerana dipercayai turut mengetahui perbuatan suaminya itu.
Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja perempuan hilang dari rumahnya di Jasin namun berjaya ditemui semula dalam keadaan selamat Rabu lalu selepas lebih dua minggu dilaporkan hilang. – MalaysiaGazette