Wisma Putra
Bangunan Wisma Putra di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Malaysia mengalu-alukan tindakan terkini Afrika Selatan yang memohon supaya Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menetapkan langkah-langkah sementara tambahan ke atas Israel.

Menurut Wisma Putra, langkah sementara itu menetapkan supaya Israel menghentikan serangan ketenteraan di Rafah dengan segera dan melicinkan penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa halangan.

“Israel juga melaporkan tindakan yang telah diambil serta pematuhan mengenai perintah langkah-langkah sementara kepada ICJ.

“Perkara disuarakan Afrika Selatan dalam sesi pendengaran awam sedang diadakan di Peace Palace, The Hague dari 16 hingga 17 Mei 2024,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 22 Februari lalu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menyampaikan kenyataan lisan Malaysia pada sesi pendengaran awam berhubung permohonan bagi mendapatkan pendapat nasihat ICJ.

Ia mengenai kesan perundangan yang timbul daripada dasar dan amalan Israel di Wilayah Palestin yang diduduki termasuk Baitulmaqdis Timur.

Dalam pada itu, Malaysia menyokong sepenuhnya dan menyambut baik usaha Afrika Selatan untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin di Gaza.

“Ini merupakan permohonan Afrika Selatan yang ketiga sejak ICJ menetapkan langkah-langkah sementara pada 26 Januari 2024,” kata kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, serangan besar-besaran Israel di Rafah ke atas lebih 1.4 juta rakyat Palestin yang terperangkap dan berlindung di kawasan seluas 64 kilometer persegi akan mengakibatkan malapetaka kemanusiaan yang besar.

“Masyarakat antarabangsa mempunyai tanggungjawab bersama untuk menuntut Israel menghentikan operasi ketenteraannya,” katanya.

Kata Wisma Putra lagi, Malaysia mengulangi pendiriannya bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan negara merdeka dan berdaulat.

“Berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya, serta kemasukan Palestin sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast