KUANTAN – Pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang mengesahkan salah seorang peserta Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 meninggal dunia ketika acara itu berlangsung.
Katanya, mangsa merupakan peserta dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan dan menyertai acara itu yang bermula sejak 2 September lepas.
“Pengurusan UiTM menzahirkan rasa amat berdukacita dan mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, peserta Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan.
“Pihak pengurusan sentiasa mengutamakan kebajikan warganya, justeru UiTM sedang memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kebajikan keluarga Allahyarham,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, pihak pengurusan universiti telah menggerakkan bantuan komprehensif bagi memastikan segala urusan pengurusan jenazah, dokumentasi, pengangkutan, serta keperluan sokongan emosi kepada keluarga mangsa berjalan dengan lancar dan dipermudahkan tanpa sebarang kesulitan.
Selain itu, katanya, pihak penganjur turut menetapkan pertandingan melibatkan aktiviti luar KKEC 2026 yang dijadualkan pada hari ini dibatalkan.
“Untuk makluman, program tahunan yang menghimpunkan komander kesatria dari seluruh cawangan UiTM se-Malaysia ini berlangsung dari 2 hingga 8 September 2026 di UITM Cawangan Pahang, Kampus Jengka telah melalui pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ketat.
“Semua peserta diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum program bermula, selain saringan kesihatan berkala sebelum setiap acara bermula,” jelasnya.
Tambah kenyataan itu, terdapat beberapa peserta terdahulu yang diminta menarik diri selepas didapati tidak melepasi saringan akhir tersebut.
Katanya, pihak UiTM memandang serius insiden terbabit dan akan terus memantau rapi situasi semasa bagi memastikan kebajikan semua pihak yang terlibat terpelihara. – MalaysiaGazette
















