PENAGA – Jenazah Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib yang dilaporkan hilang di Hutan Simpan Belum di Gerik, Perak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Mertajam, di sini, hari ini.
Lebih 300 orang termasuk saudara mara, rakan sekerja mengiringi jenazah sebaik tiba di pekarangan Masjid Jamek Pulau Mertajam pada jam 5.25 petang.
Jenazah yang selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak pada sebelah pagi dibawa pulang ke kampung halamannya menaiki van Angkatan Tentera (ATM).
Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan apabila ibu Allahyarham Mohammad Nasri, Fadzilah Abu Bakar, isteri, Nurhayatul Husna Abdul Muttalib menyiram air mawar di pusaranya.
Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Panglima 4 Div, Mej Jen Anuar Abdul Wahab dan Panglima 11 Div, Brig Jen Shahir Hafizul Abd Rahman.
Sementara itu, Fadzilah berkata, dia sempat menatap wajah anak tunggalnya itu buat kali terakhir ketika melakukan pengecaman di Hospital Raja Permaisuri Bainun.
“Saya reda, kalau tak reda saya tak tenang,” katanya dengan nada sebak.
Semalam MalaysiaGazette melaporkan lima hari pencarian, mayat Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib yang dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum di Gerik membuahkan hasil.
Mayat anggota dari Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Bentong, Pahang itu dijumpai pada jam 10.15 pagi dalam keadaan sempurna berhampiran sungai. – MalaysiaGazette