KUALA LUMPUR – Universiti Malaya edar 5,555 bungkus bubur lambuk sempena penganjuran Bubur Lambuk Perdana dan Iftar Perdana Universiti Malaya tahun 2023 kepada warga kampus yang terdiri daripada staf, pelajar dan juga orang awam, hari ini.
Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor berharap penganjuran program seperti ini dapat mengeratkan lagi silaturahim antara warga kampus dan juga dapat memberi sumbangan kepada yang memerlukan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada lebih 100 orang sukarelawan yang terlibat hari ini atas sumbangan tenaga mereka, dan berharap dapat sama-sama memanfaatkan cara dan teknik memasak bubur lambuk ini untuk kita terus adakan program seperti ini setiap tahun di Universiti Malaya.
Irwan Saufi Alias, Pengarah Program Bubur Lambuk Perdana Universiti Malaya berkata, program hari ini dijayakan bersama gabungan 3 persatuan di Universiti Malaya iaitu Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas, Kesatuan Kakitangan Am Universiti Malaya (KKAUM), dan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dalam menyediakan bahan mentah, memasak, dan mengedarkan bubur
lambuk.
Pengagihan bubur lambuk ini dijalankan secara pandu lalu di pintu masuk universiti dan juga kepada warga kampus.
Program Bubur Lambuk Perdana dan Iftar Perdana UM ini adalah pertama kali diadakan secara besar-besaran, yang mana ianya merupakan sebahagian daripada program Road To Convo UM 2023. – MalaysiaGazette