Tiong King Sing

KUALA LUMPUR – Malaysia bakal menerima kemasukan 450,000 pelawat China selepas menandatangani perjanjian dengan dua agensi pelancongan dari negara tembok besar itu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kerjasama itu turut meliputi beberapa kelonggaran yang akan ditentukan supaya kemasukan mereka lebih lancar.

“Kami berjaya menandatangani perjanjian dengan dua agensi pelancongan di China iaitu satu agensi akan membawa masuk 350,000 dan bakinya 100,000 pelawat.

“Mereka minta kita tangani dua perkara iaitu prosedur permohonan visa yang lebih mudah dan kedua adalah untuk lebih banyak kapasiti penumpang dalam penerbangan antara kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis berbuka puasa kementeriannya, di sini, hari ini.

Jelas Tiong, perkara itu menjadi salah satu kejayaan kementeriannya selepas beliau turut bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan rasmi ke China pada 29 Mac lalu.

Sehubungan itu, Tiong berkata, satu rundingan dengan pihak berkuasa termasuk Jabatan Imigresen (JIM) akan diadakan bagi menangani perkara berkenaan.

Tiong memberitahu, hasrat itu juga bagi memastikan kementeriannya mampu mencapai sasaran 5 juta ketibaan pelancong dari China pada tahun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.