KUALA LUMPUR – Lelaki yang membakar mercun di atas Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhadapan Petronas Lotus Ampang telah ditahan lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak yang mengesahkan tangkapan itu berkata, suspek yang berusia 35 tahun ditahan pada jam 11 malam semalam di tepi Jalan Dagang.

Tangkapan itu dibuat selepas perbuatan suspek tular di media sosial.

Suspek yang merupakan seorang pemandu lori dikatakan membakar mercun jenis cake shot kerana diminta oleh pelanggan premis milik kawannya.

Kes disiasat bawah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957. Seksyen 6 Akta Bahan Letupan merujuk kepada seseorang dengan menyalahi undang-undang dan berniat jahat menyebabkan dengan menggunakan apa-apa bahan letupan yang mungkin boleh membahayakan nyawa atau kerosakan harta atau kecederaan pada orang.

Manakala Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 merujuk kepada bermain dan membakar mercun dan bunga api.

Hukuman bagi Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya manakala bagi Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi satu bulan atau denda sehingga RM200 atau kedua-duanya.

“Suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah manakala ujian air kencing adalah negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau turut memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa apa perbuatan menggunakan bahan letupan membahayakan nyawa atau kerosakan atau kecederaan. – MalaysiaGazette