Angkatan tentera Sudan memasuki Khartoum. foto Twitter 301 Military

KHARTOUM – Perebutan kuasa antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera yang terkenal telah menggegarkan negara ini dengan 27 dilaporkan mati dan hampir 200 cedera.

Penduduk mengelak tembakan di ibu negara ketika pasukan musuh berebut istana presiden, stesen televisyen negara, dan ibu pejabat tentera.

Antara yang maut ialah tiga pekerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang ditembak selepas kedua-dua pihak berbalas tembakan di pangkalan tentera.

Pertempuran tercetus selepas ketegangan mengenai cadangan peralihan kepada pemerintahan awam.

Kedua-dua tentera dan lawannya, Pasukan Sokongan Pantas (RSF), mendakwa mereka menguasai lapangan terbang dan tapak penting lain di Khartoum, di mana pertempuran berterusan semalaman.

Keganasan juga dilaporkan di tempat lain di negara ini, termasuk di bandar-bandar di wilayah Darfur.

Tentera berkata, jet pejuang sedang membedil pangkalan RSF, dan tentera udara mengarahkan orang ramai untuk kekal berada di dalam rumah pada malam Sabtu semasa ia menjalankan tinjauan udara penuh aktiviti separa tentera.

Penduduk Khartoum mula panik dan ketakutan susulan tembakan dilepaskan.

Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh termasuk tiga orang awam dan hampir 200 cedera dalam keganasan itu, kata Kesatuan Doktor Sudan.

Tiga pekerja Program Makanan Sedunia (WFP), sebuah badan di bawah PBB yang menyampaikan bantuan makanan kepada komuniti yang terdedah, terbunuh selepas RSF dan angkatan bersenjata berbalas tembakan di pangkalan tentera di Kabkabiya, di barat negara itu.

Dua kakitangan lain cedera parah, dan RSF merompak beberapa kenderaan WFP.

Pertempuran adalah antara unit tentera yang setia kepada ketua de facto, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, dan RSF, yang dipimpin oleh Timbalan Ketua Sudan, Mohamed Hamdan Dagalo yang juga dikenali sebagai Hemedti.

Dagalo berkata, tenteranya akan terus berjuang sehingga semua pangkalan tentera ditawan.

Sebagai tindak balas, angkatan tentera Sudan menolak rundingan “sehingga pembubaran separa tentera RSF”.

Di Khartoum, rakaman video menunjukkan orang ramai bertempiaran melarikan diri dan berlindung ketika asap hitam berkepul-kepul menggelap bandar itu.

Di media sosial menunjukkan sebuah pesawat awam terbakar di lapangan terbang Khartoum.

Syarikat penerbangan Saudi, Saudia berkata, salah satu Airbusnya diserang.

Saudia dan EgyptAir telah menggantung penerbangan ke Khartoum dan negara jiran Chad telah menutup sempadannya dengan Sudan. – Agensi