Seorang warga emas membaca ayat suci al-Quran melalui telefon bimbit sementara menunggu waktu solat sunat tarawih di Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah, Hulu Langat, Selangor.

PENCIPTAAN alatan teknologi masa kini memberikan banyak kemudahan kepada manusia. Antara tujuan utama sesuatu inovasi itu dihasilkan ialah untuk membantu manusia melaksanakan apa sahaja tugasan. Bahkan, tidak keterlaluan jika dikatakan, penggunaan teknologi juga banyak memberi manfaat kepada manusia ketika di dalam bulan Ramadan. Seperti yang kita sedia maklum, penentuan tarikh awal Ramadan adalah ditentukan dengan menggunakan kaedah rukyah dan hisab.

Kaedah ini dibantu dengan penggunaan alatan teknologi seperti theodolite yang berfungsi mengukur sudut mendatar dan menegak serta teleskop dan binokular untuk mencerap anak bulan atau hilal. Terdapat teknologi yang terkini turut digunakan iaitu kamera “Charge Couple Device” yang dihubungkan dengan teleskop untuk menambahkan kepekaan terhadap pengesanan cahaya hilal. Begitu juga dengan inovasi teleskop yang menggunakan gelombang radio untuk mengesan kedudukan hilal dengan lebih tepat dan jitu. Bukan sekadar penentuan tarikh awal Ramadan, pengiraan waktu berbuka dan imsak juga dibantu dengan alatan ini selain daripada kaedah pengiraan matematik.

Pembangunan aplikasi-aplikasi dalam smartphone yang berkaitan Ramadan turut memudahkan umat Islam untuk beribadah. Aplikasi seperti waktu solat menjadikan kita cakna dengan waktu untuk berbuka dan bersahur. Terdapat juga aplikasi yang berkaitan doa-doa, hadis serta tazkirah sebagai peringatan kepada umat Islam dalam bulan Ramadan yang turut dibangunkan. Selain itu, aplikasi al-Quran pula sangat membantu umat Islam untuk membaca al-Quran walau di mana sahaja mereka berada. Antara keunikan di negara kita adalah kewujudan bazar Ramadan setiap kali hadirnya bulan Ramadan. Ia menjadi tempat kunjungan umat Islam membeli makanan sebagai juadah untuk berbuka.

Pada masa yang sama, ia juga adalah sumber rezeki buat para peniaga ketika di bulan Ramadan. Jika diperhatikan, pada masa kini, kebanyakan para peniaga sudah mula menggunakan bayaran melaui kaedah pembayaran tanpa tunai (cashless). Ia sudah pasti memudahkan urusan jual beli antara peniaga dan pembeli. Selain itu, terdapat juga bazar Ramadan yang menggunakan teknologi untuk mengawal kesesakan dalam bazar dengan mengawal jumlah pengunjung yang masuk ke dalam bazar. Bahagian hadapan bazar akan diletakkan skrin yang memaparkan jumlah semasa (real-time) keluar masuk pengunjung. Ini memudahkan pergerakan pengunjung dalam bazar tersebut dan urusan jual beli berjalan dengan lancar serta pada masa yang sama memberi keselesaan kepada pengunjung.

Bagi wanita yang sudah berkeluarga dan berkerjaya, sudah pasti menjadi cabaran buat mereka menyediakan juadah berbuka puasa untuk keluarga dengan masakan sendiri. Walau bagaimanapun, dengan penciptaan alatan teknologi memasak yang terkini seperti Thermomix©, ia memudahkan lagi tugasan memasak. Hampir semua proses memasak boleh dilakukan menggunakan alatan tersebut. Pengunaan teknologi yang membantu dan memudahkan urusan kita adalah sebahagian daripada galakan dalam agama Islam.

Allah SWT menggalakkan umat Islam untuk berfikir dan menghasilkan inovasi. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka”. (Ali-Imran: 190-191).

Begitu juga, Rasulullah SAW telah memberi saranan untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat buat manusia melalui sabda baginda: Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi SAW bersabda, “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalahmembuat muslim yang lain bahagia, meringankan kesusahan orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi suatu keperluan, maka hal itu lebih aku cintai daripada iktikaf sebulan di masjid ini iaitu masjid Nabawi di Madinah selama sebulan penuh (HR. Tobarani).

Hasil teknologi yang boleh memanfaatkan manusia jelas kelihatan jika mengambil contoh keadaan persekitaran ketika di bulan Ramadan ini. Justeru, umat Islam perlu menguasai ilmu sains dan teknologi agar dapat membangunkan negara menjadi negara yang kuat, maju dan berdaulat.

Ts. Dr Rozaini Othman
Pensyarah Pengajian Kejuruteraan Mekanikal
UiTM Cawangan Pulau Pinang

Zaiton Din
Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari
UiTM Cawangan Pulau Pinang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast