Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media selepas sesi Taklimat Umum Industri Kreatif Siri 2: Kandungan Digital dan Teknologi Kreatif, hari ini.

CYBERJAYA – Kerajaan bersedia meneliti dasar yang bersesuaian bagi membantu penghasil karya tempatan untuk menonjolkan karya mereka pada khalayak umum terutama di dalam negara.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, ia membabitkan kuota khas wajib tayang untuk syarikat television tempatan menyiarkan animasi tempatan di saluran masing-masing.

“Ini satu perkara yang secara dasarnya saya menyokong. Saya rasa ada keperluan untuk kita meneliti kandungan digital yang dihasilkan dalam negara kita.

“Bukan hanya untuk kita jana atau terbitkan tapi tayang dan pamerkan. Kalau dalam filem kita ada skim wajib tayang, sebagai contoh, tapi mungkin bagi animasi dan beberapa perkara lain kita perlu mempertimbang apa dasar yang bersesuaian bagi membantu penghasil karya konten digital untuk menonjolkan karya mereka pada khalayak umum terutama di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi Town Hall Industri Kreatif Siri 2: Kandungan Digital dan Teknologi Kreatif, anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di sini, hari ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil melawat reruai peserta Taklimat Umum Industri Kreatif Siri 2: Kandungan Digital dan Teknologi Kreatif, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching; Pengerusi MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz.

Sesi itu dihadiri hampir 400 peserta dari studio tempatan yang terlibat dalam bidang pengeluaran permainan, perkhidmatan permainan, pencipta dan studio harta intelek (IP) animasi, komik digital dan teknologi kreatif.

Ketika sesi town hall berlangsung, keluhan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Razi mendapat perhatian selepas memberitahu dilema pengusaha animasi tempatan dan hasil karya yang tidak dapat disiarkan kerana stesen televisyen tidak membeli mahu membeli karya mereka kerana harganya yang tinggi.

“Saya rasa sudah tiba masanya kerajaan mengenakan kuota sekurang-kurangnya 30 peratus daripada produk yang ingin ditayangkan kepada umum mestilah dikeluarkan oleh pengkarya tempatan,” katanya.

Justeru, Fahmi berkata, kerajaan juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak-pihak terlibat untuk memahami permasalahan yang dibangkitkan.

“Sebahagian daripadanya adalah isu ekonomi, saya perlu adakan perbincangan dengan lebih lanjut dengan pihak terbabit untuk faham. Berbeza dengan karya produksi telefilem atau produk-produk lain, animasi tidak boleh kita tolak realiti, ia memerlukan sumber yang lebih besar.

“Sama ada stesen-stesen television tempatan mampu atau tidak. Mungkin pada tahun depan, kita boleh pertimbangkan apa yang dilakukan untuk sokongan tambahan kepada pengkarya-pengkarya animasi seperti Les’ Copaque,” kata Fahmi.

Tambah beliau, kerajaan juga bersedia meneliti langkah yang boleh diambil bagi membantu mengeksport karya tempatan.

“Kita perlu lihat apa yang boleh kita lakukan untuk mengeksport hasil karya ini, setidak-tidaknya di rantau Asia Tenggara. Ini kerana, Malaysia mempunyai 34 juta penduduk tetapi ASEAN ada lebih 660 juta (penduduk).

“Jadi dari segi pasaran, saya lihat peluangnya sangat banyak maka kita akan teliti apa yang kita boleh lakukan untuk membantu mereka. Bukan hanya dalam negara tapi untuk eksport karya mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast