Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar telah mengaktifkan ‘Operasi Sudan’ dengan para pegawai bertugas 24 jam sehari sejak krisis tercetus di negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, operasi itu turut disertai beberapa agensi kerajaan lain bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di Sudan terpelihara.

“Wisma Putra telah berhubung dengan beberapa buah negara sahabat seperti Arab Saudi, Turkiye, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), China, Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu proses membawa keluar rakyat Malaysia dari Sudan sebaik sahaja keadaan mengizinkan.

“Pada masa ini, keadaan di Sudan dilaporkan masih lagi di dalam keadaan tegang di mana pertempuran antara kedua-dua pihak bertelagah masih sengit khususnya di kawasan-kawasan strategik di Khartoum.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum yang telah ditawan oleh pihak Rapid Support Forces (RSF) masih belum dibuka kembali dan ini menyukarkan perancangan untuk membawa keluar rakyat-rakyat asing dari pelbagai negara termasuklah Malaysia.

“Kesemua 29 rakyat Malaysia mengikuti nasihat yang dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum untuk terus berada di tempat masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Situasi di Sudan yang bergolak ekoran pertempuran bersenjata antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF). – AP

Tambah Zambry, kerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Sudan dan membawa mereka pulang ke tanah air dengan selamat.

Pihaknya akan dibantu oleh agensi-agensi lain seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pasukan khas ini juga sedang berhubung rapat dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum mengenai kaedah yang paling selamat untuk menambah bekalan keperluan asas khususnya makanan dan ubat-ubatan kepada kesemua mereka di Sudan.

“Situasi di Sudan terlalu kompleks. Ini melibatkan perbalahan politik di antara dua pihak utama Transitional Sovereignty Council. Berdasarkan laporan yang diterima, kedua-dua pihak masih belum mencapai kata sepakat untuk menamatkan pertempuran bersenjata yang telah meletus sejak dua hari yang lepas.

“Malaysia berharap pemimpin kedua-dua kumpulan ini dapat mendengar rayuan masyarakat antarabangsa untuk menghentikan pertempuran serta-merta dan kembali ke meja perundingan bagi mencari titik persefahaman untuk menyelesaikan segala isu atau perbalahan yang berbangkit,” jelas Zambry.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan kerajaan bersedia untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Sudan sekiranya konflik di negara itu bertambah tegangĀ – MalaysiaGazette