KUALA LUMPUR – Polis telah memulakan siasatan terhadap  insiden kebakaran membabitkan sebuah gerai yang menjual mercun dan bunga api di Chow Kit, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, insiden kebakaran itu telah dikesan di TikTok dan ditularkan di media sosial sejak semalam.

“Pada Isnin jam lebih kurang 3.43 petang, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi telah menerima laporan polis berkenaan satu video Tiktok milik akaun xtra_my berdurasi 41 saat di pautan https://vt.tiktok.com/ZGJawtFuq/ yang memaparkan kejadian kebakaran di sebuah gerai menjual mercun dan bunga api.

“Siasatan awal yang dijalankan mendapati gerai tersebut tidak mempunyai lesen dan kejadian berlaku pada 16 April lalu jam lebih kurang 10.50 malam di tepi Jalan Raja Bot, Chow Kit,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

“Siasatan sedang berjalan di mana individu yang terlibat telah dikenalpasti dan akan diambil keterangan serta tindakan lanjut,” ujarnya. – MalaysiaGazette