GEORGE TOWN – Selepas tiga tahun tergendala akibat pandemik Covid-19, tradisi moreh nasi dalam talam yang diadakan sempena malam 27 Ramadan di Masjid Kapitan, di sini, mendapat sambutan menggalakan dalam kalangan jemaah serta pelancong.
Pengerusinya, Datuk Faruk Raja Mohamed berkata, sebanyak 400 talam nasi minyak berlauk daging masak merah, ayam masak bawang, dalca dan acar dihidangkan kepada kira-kira 2,000 umat Islam sebaik selesai menunaikan solat sunat tarawih, witir dan tahlil secara berjemaah.
Jelas beliau, sambutan kali ini amat bermakna memandangkan selama tiga tahun juadah itu diedarkan secara bungkus akibat pandemik Covid-19.
“Tradisi ini diamalkan sejak tahun 1801 dan program ini juga salah satu cara menghidupkan amalan sunah Rasulullah iaitu makan secara berjemaah menggunakan talam.
“Malah, makan dalam talam ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama jemaah lain tanpa mengambil kira latar belakang.
“Selain itu, kami turut menyediakan 200 pek hidangan itu untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan dan orang awam,” Katanya kepada pemberita di sini.
Dalam perkembangan lain, Faruk Raja berkata, Ramadan tahun ini turut menyaksikan peningkatan pengunjung ke Masjid Kapitan Keling untuk berbuka puasa.
“Sebanyak 230 hingga 300 pek makanan disediakan setiap hari sejak awal Ramadan lalu berbanding 100 hingga 150 pek pada tahun sebelumnya.
“Lebih 70 peratus daripada mereka adalah musafir dan Alhamdulillah makanan sentiasa mencukupi tidak kira seramai mana yang datang kerana ada saja individu bermurah hati bersedekah makanan untuk menampung keperluan di sini,” katanya. – MalaysiaGazette