KUALA LUMPUR – Peguam syarie mewakili pengarah sensasi, Syamsul Yusof, Azmi Mohd Rais menjelaskan prosiding Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dijalani sebelum ini tidak dilakukan mengikut prosedur yang betul.
Ini kerana, kata beliau, Syamsul dan isterinya Puteri Sarah Liyana tidak bersemuka dan prosiding diadakan secara berasingan antara kedua-duanya.
“Jadi kami membantah, prosiding JKP itu tidak dijalankan secara betul secara berasingan maksudnya wakil tidak bersemuka.
“Suami isteri tidak bersemuka macam mana hendak jalankan proses pendamaian, jadi itilah kami kata impaknya proses JKP itu tidak berjaya dijalankan dan ada kecacatan serius, itu hakikatnya.
“Sarah pun jelas rata-rata dalam TikTok lepas JKP kata dia enggan jumpa Syamsul, saya sudah cerita A hingga Z pada JKP,” katanya di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di hari ini.
Mengulas lanjut, Azmi memberitahu, pihaknya menyatakan bantahan berhubung perkara itu sebagaimana tercatat dalam ikrar Syamsul dalam draf terma penyelesaian yang dipersetujui.
Jelas beliau, pihaknya sudah membuat pembetulan selain mencadangkan beberapa terma tetapi tidak dipersetujui Puteri Sarah seperti keengganannya menarik balik kes sivil membabitkan Ira Kazar.
Azmi berkata, selain JKP, saman terhadap keluarga Ira Kazar yang enggan ditarik dan jumlah tuntutan nafkah anak menjadi penghalang kepada Syamsul melafazkan cerai ketika prosiding yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.
“Usaha nak selesai kes secara persetujuan tidak berjaya. Terdapat beberapa perubahan dibuat Puteri Sarah berkenaan Ira Kazar dan tuntutan lain.
“Puteri Sarah meminda beberapa terma dalam draf persetujuan yang dicapai sebelum ini menerusi satu pertemuan antara kedua pihak.
“Apabila diserahkan draf persetujuan, kami dapati terdapat perubahan antaranya, Puteri Sarah masih ingin meneruskan tindakan saman terhadap Ira Kazar dan keluarganya.
“Puteri Sarah juga meminta jumlah mutaah tinggi yang tidak dipersetujui oleh Syamsul. Bagaimanapun, kami ada mencadangkan beberapa terma lain tetapi tidak dipersetujui.
“Jadi, daripada segi penyelesaian tidak ada dan itu adalah punca kenapa kes ini masih berlanjutan,” katanya.
Sepatutnya, hari ini Syamsul melafazkan talak terhadap Puteri Sarah namun perkara itu tidak dilaksanakan berikut tiada persetujuan mengenai beberapa terma. – MalaysiaGazette