Pengarah filem, Syamsul Yusof hadir bagi proses lafaz cerai dengan isterinya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin ketika hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 18 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Pengarah sensasi, Syamsul Yusof enggan mengulas lanjut mengenai pengurangan nafkah anak-anak yang didakwa oleh isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana menjadi antara faktor lafaz cerai ditangguhkan pada 25 Mei ini.

Sebaliknya, Syamsul, 39, meminta pihak media untuk mengajukan soalan tersebut kepada peguam yang mewakilinya, Azmi Mohd Rais.

Kata bapa kepada dua cahaya mata ini, dia ingin pulang ke rumah kerana badannya sudah penat.

“Tanya peguam saya. Saya nak balik, penat. Tak nak (bagi kenyataan bersama peguam). Peguam saya ada jawapan. Saya reda dengan berita ini dan teruskan sahaja. Selamat berpuasa. Assalamualaikum,” katanya ringkas.

Ditanya sama ada dia akan pulang beraya bersama Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail, pemilik nama Mohd Syamsul Mohd Yusof tidak menjawab dan menutup pintu kereta Range Rover berwarna merah.

Pada hari ini, lafaz cerai yang sepatutnya dilakukan Syamsul ditangguhkan apabila Puteri Sarah enggan menarik semula saman terhadap madunya, Ira Kazar selain pengarah tersebut meminta pengurangan bayaran nafkah anak-anak.

Berikutan tiada lafaz cerai daripada Syamsul, prosiding dijangka akan diteruskan dengan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) pada 25 Mei depan di Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas.

Selain itu, proses sulh yang berlangsung sebelum itu juga tidak berhasil apabila Syamsul dan Puteri Sarah gagal mencapai persetujuan.

Pengarah filem, Syamsul Yusof hadir bagi proses lafaz cerai dengan isterinya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin ketika hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 18 APRIL 2023.

Terdahulu, Syamsul bersetuju dengan permohonan cerai Puteri Sarah pada 10 April lalu.

Pada 7 Mac lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.

JKP merangkumi anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan mereka dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.

Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.

Puteri Sarah dilaporkan nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.

Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast