Penyerahan replika cek itu disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Wira Sazali Mohd Din (2 dari kiri) dan disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dalam majlis berkenaan.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima penyerahan dividen sebanyak RM5 juta nilai dividen daripada UTeM Holdings Sdn Bhd (UHSB) pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Tun Canselor di kampus induk UTeM, baru-baru ini.

Penyerahan replika cek itu disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Wira Sazali Mohd Din dan disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dalam majlis berkenaan.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, amaun dividen yang diserahkan oleh UHSB kepada UTeM adalah amaun paling besar dan tertinggi dalam sejarah berbanding tahun sebelum ini.

Jelasnya, angka tersebut jelas menggambarkan peningkatan hebat sebanyak RM2.1 juta jika dibandingkan pada tahun sebelumnya sebanyak RM 2.9 juta yang telah diserahkan kepada pihak UTeM.

“Ia merupakan satu kemajuan pada tahun 2022 setelah bergelut selama beberapa tahun menerusi inisiatif perniagaan dan pemantapan strategik yang dilaksanakan oleh UHSB mula menzahirkan lonjakan pendapatan dan meraih keuntungan besar.

“UTeM serentak dan sentiasa menyokong segala bentuk kecekapan dan keberkesanan pengurusan yang dipamerkan oleh kumpulan pengurusan dan kakitangan UHSB kerana ianya berkadar langsung dan boleh menambah sumber kewangan untuk Universiti,” katanya dalam kenyataan yang diberikan sempena majlis berkenaan.

Sementara itu, Sazali berharap momentum prestasi memberangsangkan oleh UHSB itu akan terus meningkat sekaligus membanggakan universiti berkenaan.

“UHSB pada masa akan datang akan terus bergerak proaktif dalam memfokuskan kejayaan projek-projek yang sedang dilaksanakan dengan jayanya di samping mengintai peluang-peluang penerokaan peluang perniagaan baharu yang berkaitan.

“Inisiatif ini adalah seiring dengan kepakaran yang dimiliki dan pada masa yang sama sedang berusaha menggunapakai tenaga dan kepakaran yang dimiliki oleh kakitangan akademik UTeM dalam keadaan menang menang,” katanya.

Turut hadir, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman mewakili Ketua Menteri Melaka, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Zaidi Johari dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM Datuk Seri Dr. Hasim Hasan.- MalaysiaGazette