HIDUP secara berpasangan merupakan fitrah kejadian manusia yang diciptakan oleh tuhan. Perkahwinan yang berteraskan syariat adalah jambatan dalam memenuhi dorongan biologi ini sekali gus membentuk perkahwinan yang didasari dengan kasih sayang. Sebaliknya, perkahwinan yang retak menanti belah akan mengakibatkan simptom-simptom ketidakteguhan peribadi dan jati diri sehingga membawa impak negatif bukan sahaja kepada diri sendiri bahkan kepada anak-anak, keluarga, orang sekeliling dan masyarakat.
Secara asasnya, di dalam Islam perkahwinan boleh dikategorikan kepada dua bentuk iaitu monogami dan poligami. Monogami ialah perkahwinan di antara seorang lelaki dengan seorang wanita. Manakala poligami pula ialah perkahwinan seorang lelaki dengan lebih daripada seorang wanita tetapi tidak melebihi empat orang dalam satu masa yang sama. Di Malaysia, sekiranya seseorang berhasrat untuk berpoligami maka perlulah membuat permohonan dan mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu.
Prosedur poligami telah lama wujud di Malaysia, namun ia amat sukar untuk dipatuhi oleh kebanyakan pasangan kerana terdapat pelbagai tanggapan telah dibuat terhadap Mahkamah Syariah seperti karenah birokrasi, takut permohonan tidak diluluskan, proses yang lewat dan menyusahkan. Hal ini dapat dilihat dengan lambakan kes poligami yang telah dilakukan tanpa mendapat kebenaran Mahkamah Syariah iaitu dengan melangsungkan perkahwinan di luar negara seperti di Selatan Thailand, Indonesia atau perkahwinan secara sindiket di dalam negara.
Malang sekali, kebanyakan para suami terlepas pandang bahawa tujuan perkahwinan yang sebenar dalam Islam bukanlah semata-mata untuk mengadakan ‘hubungan seks’ dengan para isteri pada malam giliran tetapi makna perkahwinan lebih besar dari itu. Antaranya adalah untuk menyempurnakan kemesraan, kasih sayang, didikan agama dan menjaga kerukunan suami isteri dalam perhubungan rumah tangga. Seandainya perkahwinan dilihat daripada lensa melampiaskan nafsu semata-mata, maka tidak hairanlah setiap hari pasti kes perceraian menjadi episod ulangan bersiri yang tidak menemukan titik noktah di Mahkamah Syariah.
Semenjak dua ini kita sering kali dikejutkan dengan isu poligami dan perceraian dalam kalangan selebriti sehingga menjadi fenomena tanah air untuk beberapa bulan lamanya seperti isu Puteri Sarah Liyana, Syamsul Yusof dan Ira Kazar, Hafidz Rosdi dan Nurul Shuhada, Farid Kamil dan Diana Danielle, ND Lala dan isteri baharu dan yang terkini Zulin Aziz memberi bayangan seakan sudah bercerai dengan suaminya, Farhan Norzaini akibat ketidaksefahaman. Hakikatnya isu poligami dan perceraian ini bukan sahaja melibatkan pasangan selebriti tetapi juga melibatkan ratusan rakyat biasa cuma bezanya mereka tidak dikenali dalam khalayak umum.
Dalam rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), antara faktor terjadinya poligami di Malaysia adalah isteri sedia ada mandul, keuzuran jasmani, mahu mendapatkan anak, khalwat, pasangan telah mengandung akibat zina, mengelak daripada melakukan perkara mungkar, keinginan untuk bernikah satu lagi, kasihan, berpendapatan lebih, desakan ahli keluarga dan tanpa sebab yang munasabah. Melalui peruntukan undang-undang semasa sudah menggariskan hak-hak isteri sedia ada yang perlu dipertimbangkan oleh pihak suami dan Mahkamah Syariah sebelum meluluskan permohonan suami untuk berpoligami.
Berdasarkan Seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, ia boleh dirumuskan seperti berikut:
1. Seksyen 23 (5) – Hak isteri untuk didengar dan diambil kira pandangannya sebelum suami berpoligami.
2. Seksyen 23 (5)(c) – Hak isteri untuk dilayan secara adil dalam poligami.
3. Seksyen 23 (5)(d) – Hak isteri untuk tidak menerima darar syari’e atau kesan mudarat daripada perkahwinan poligami tersebut.
4. Seksyen 23 (7) – Hak isteri untuk membuat bantahan sekiranya mendapati suami tidak layak berpoligami.
5. Seksyen 23 (10)(a) – Hak isteri untuk mendapatkan nafkah selepas suami berpoligami.
Hal ini dapat dibuktikan menerusi sebuah kes Muhammad Asraf lwn Zuraini (Saman No: 10400-011-0467-2012), Plaintif (Suami) mempunyai pendapatan sebanyak RM4,200.00 sebulan dan ingin berpoligami. Defendan (Isteri) tidak bersetuju dengan tuntutan Plaintif tersebut. Mahkamah telah menolak kes tersebut kerana Plaintif kurang berkemampuan dari segi pendapatan iaitu kewangan untuk menampung isteri sedia ada serta anak-anak dan bakal isteri terutamanya Plaintif sendiri sedang menyambung pelajaran dan memerlukan banyak wang.
Hukum poligami pada dasarnya adalah harus sekiranya suami berkemampuan dan yakin tidak mendatangkan kemudaratan kepada diri, pasangan mahupun ahli keluarga yang lain. Namun, poligami acapkali menjadi mangsa kepada tomahan-tomahan negatif oleh kebanyakan orang hanya kerana sikap individu suami yang gagal memanifestasikan kehidupan berpoligami sebaiknya. Sedangkan tunjang kebahagiaan rumah tangga yang sebenar bukan terletak kepada bentuk perkahwinan samada monogami atau poligami sebaliknya kepada pengemudi bahtera dan anak-anak kapalnya tidak lain dan tidak bukan pasangan suami isteri itu sendiri. Walaubagaimanapun, jangan kerana menurut kemahuan hawa nafsu, isteri dan anak-anak pula yang menjadi mangsa akibat daripada poligami yang disalahgunakan.
Rasulullah S.A.W. sendiri juga sering berdoa supaya Allah S.W.T tidak mencelanya dalam soal penggiliran bersama isteri-isteri baginda kerana beliau sendiri mengaku tidak dapat berlaku adil khususnya dalam soal kecenderungan hati terhadap mana-mana isteri baginda. Baginda juga mengingatkan kepada para suami: “Barangsiapa yang mempunyai dua isteri, lalu dia cenderung kepada salah seorang di antaranya dan tidak berlaku adil antara mereka berdua, maka kelak di hari kiamat dia akan datang dengan keadaan pinggangnya miring hampir jatuh sebelah.” (Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal).
Hadis ini jelas menunjukkan betapa keadilan dalam rumah tangga amat dititiberatkan oleh Islam sehinggakan wujud ancaman di akhirat bagi orang yang tidak berlaku adil kepada isteri-isterinya dalam hidup berpoligami. Keadilan yang diwajibkan ke atas lelaki yang berpoligami tidak semata-mata keadilan nafkah, tempat tinggal, tempat tidur, pakaian, didikan agama bahkan melibatkan juga keadilan dari segi perasaan kasih sayang dan belaian jiwa terhadap setiap isteri. Poligami dalam sesebuah perhubungan adalah pilihan yang tidak membebankan dan seharusnya ia tidak menjadi masalah bagi yang berkemampuan. Namun begitu, kewajiban disebalik makna poligami tidak terhenti pada waktu giliran bersama, tidak juga pada pelaburan wang semata tetapi asasnya adalah kepada keadilan dalam membina sebuah keluarga bahagia dan sejahtera.
Kesimpulannya, naratif adil bukanlah membawa makna sama rata umpama sebiji kek yang dibahagi dua tetapi adil dalam konteks rumah tangga adalah memenuhi kehendak setiap entiti sesuai dengan keperluan semasa selagimana tidak melanggar Hukum Syarak dan batas agama. Segala keperluan nafkah isteri dan anak-anak yang dituntut oleh isteri pertama misalnya perlulah didahulukan dan dipenuhi selari dengan taraf kehidupan lazim sebagaimana sebelum si suami berpoligami. Justeru itu, hipotesis dalam hidup berpoligami adalah semakin ramai isteri dalam perhubungan, semakin bertambah tanggungan hidup yang perlu diuruskan, semakin banyak wang, masa, tenaga yang perlu dibahagikan dan semakin besar juga tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Ingatlah, andai tanggungjawab ini gagal dipikul dengan sebaiknya, nescaya di akhirat kelak seksaan dan penyesalan akan menanti dengan penuh hiba.
Oleh: Muhammad Isyraq Husaini Muliadi,
Pelajar Tahun Akhir, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia. (FSU, USIM)