Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Malaysia mempunyai kebarangkalian untuk berlaku gempa bumi berdasarkan bukti-bukti empirikal yang dijalankan oleh abatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sebelum ini, kata NRECC.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berkata, JMG telah menjalankan Projek Pemetaan Sesar Aktif dan Kawasan Risiko Gempa Bumi di Sabah, Sarawak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Perak dan memasang sejumlah enam stesen Penanda Aras Gempa Bumi (PAG) aktif di Sabah dan 54 PAG pasif di enam negeri (Pahang [13], Selangor [6], Perak [2], Negeri Sembilan [2], Sarawak [2] dan Sabah [29].

Stesen ini bertujuan memantau pergerakan sesar aktif yang berpotensi menyebabkan kejadian gempa bumi dan ia dipantau secara masa nyata.

JMG telah menerbitkan Peta Bahaya Seismik Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada tahun 2019 yang mencirikan zon-zon bahaya bencana seismik berdasarkan PGA yang akan digunakan sebagai rujukan untuk membuat reka bentuk bangunan yang tahan gegaran gempa bumi.

Menurutnya, nilai-nilai PGA dalam peta bahaya seismik telah dimasukkan dalam Malaysian Standard MS EN 1998-1:2015 (National Annex:2017): Malaysia National Annex to Eurocode 8: Design of structures for earthquake resistance – Part 1: General rules, seismic actions and rules for buildings (Reka bentuk struktur untuk rintangan gempa bumi – Bahagian 1: Peraturan am, tindakan seismik dan peraturan untuk bangunan).

“Berdasarkan kepada bukti empirikal, Malaysia juga mempunyai kebarangkalian untuk berlaku gempa bumi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut NRECC, secara amnya, kesan gempa bumi di Malaysia adalah berpunca daripada gempa bumi yang berjarak jauh dan tempatan.

Kesan gegaran gempa bumi jarak jauh di Semenanjung Malaysia berpunca dari jalur Subduksi Plat India-Australia dan Plat Eurasia, manakala di Sabah dan Sarawak  daripada jalur Subduksi Plat Filipina dan Plat Eurasia yang merupakan sebahagian daripada Lingkaran Api Pasifik.

Gegaran gempa bumi kuat yang berpusat di Malaysia pernah berlaku dengan kekuatan 6.0 hingga 6.3 skala Richter di Sabah pada tahun 1923, 1958, 1976 dan
2015.

Manakala rekod gegaran paling kuat di Sarawak adalah dengan kekuatan 5.3 skala Richter pada tahun 1994.

Manakala di Semenanjung Malaysia juga pernah mengalami beberapa kejadian gempa bumi dengan pusat gempa di Bukit Tinggi Pahang, Empangan Kenyir Terengganu, Kuala Pilah Negeri Sembilan dan Manjung serta Temenggor di Perak dengan julat kekuatan 1.6 hingga 4.6 skala Richter yang berlaku pada tahun 1984, 1985, 1987, 2007, 2009, 2010 dan 2013.

Tambah NRECC, kejadian gempa bumi kuat yang berlaku di Sumatera, Indonesia berpotensi mengaktifkan sesar-sesar kuno di Semenanjung Malaysia dan kesan gegaran boleh dirasai di beberapa lokasi di pantai barat Semenanjung.

“Magnitud gempa bumi yang boleh terhasil adalah bergantung kepada saiz sesar kuno yang diaktifkan.

“Bagi Sabah dan Sarawak, kejadian gegaran gempa bumi adalah disebabkan oleh kombinasi pengaktifan sesar-sesar kuno akibat daripada himpitan oleh pergerakan tektonik Plat Filipina dan Plat Eurasia serta pergerakan sesar aktif tempatan,” ujarnya.

Oleh itu, sebagai langkah mitigasi jangka panjang, JMG menjalankan program libat urus dengan pihak berkuasa tempatan dan pihak berkepentingan dalam
aplikasi penggunaan peta bahaya seismik.

Program kesedaran awam juga dilaksanakan kepada pihak berkuasa negeri, penduduk tempatan dan sekolah yang terdedah kepada ancaman risiko gempa bumi.

Pada masa sama, NRECC turut menyarankan input peta bahaya seismik dirujuk dalam reka bentuk struktur bangunan di Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast