Melayu angkuh
Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hairan apabila orang Melayu diingatkan supaya jangan bersikap angkuh.

Beliau menyifatkan peringatan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu agak pelik dan ganjil kerana ia dikatakan menghina orang Melayu.

Dr Mahathir berkata, orang Melayu sejak sebelum dan selepas merdeka telah meraikan ramai kaum-kaum lain.
 
“Kerakyatan telah diberi kepada sejuta pendatang tanpa memenuhi syarat dan mereka dibenar meneruskan adat resam, budaya, sekolah, bahasa, agama dan cara hidup negara asal mereka.
 
“Apabila negara capai kemerdekaan, mereka diberi hak mengundi dan wakil-wakil mereka dilantik menjadi Menteri dan ke lain-lain jawatan tertinggi dalam kerajaan.
 
“Bukan seorang tetapi jika dikira dari sejak merdeka sehingga ke hari ini, sudah ratusan jika tidak ribuan jika dicampur semua jawatan-jawatan menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen serta lain-lain jawatan penting,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 4 April lalu, Anwar dilaporkan berkata, orang Melayu Islam yang merupakan kumpulan majoriti di negara ini tidak harus berasa terlalu selesa dan angkuh sehingga menganggap kelompok lain tidak boleh diraikan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ia adalah antara pengajaran yang dilihatnya ketika melakukan lawatan kerja ke Kemboja baru-baru ini, iaitu penduduk beragama Islam hanyalah 10 peratus di dalam negara yang majoritinya beragama Buddha.

Dr. Mahathir menambah, ekonomi negara jelas dalam pegangan bukan Melayu dan lebih 90 peratus yang menjadi bilionair adalah bukan Melayu.
 
Beliau memberitahu, tokong-tokong besar yang dibina di merata tempat di Semenanjung tidak pernah berasa terancam.

“Begitu juga patung-patung keagamaan yang besar terdiri di serata pelusuk Tanah Melayu malahan diantara yang terbesar di dunia terdapat di Kelantan, di mana penduduk Melayunya melebihi 95 peratus.
 
“Tetapi kerajaan pimpinan Perdana Menteri Melayu tidak benar isu berkait Melayu disiar. Ia dianggap perkauman,” jelasnya.

Dr. Mahathir berkata, dahulu ramai orang Melayu marah apabila beliau mengatakan mereka malas sedangkan tujuannya untuk meningatkan bahawa kaum-kaum lain sudah menguasai hampir kesemua sektor ekonomi negara dan jika orang Melayu tidak rajin dan bangkit, mereka akan hilang segala-galanya.
 
“Tetapi hari ini Datuk Seri Anwar kata Melayu angkuh dan tidak mahu raikan kaum lain sedangkan orang Melayu sudah memberi ruang seluas-luasnya untuk kaum-kaum lain sehingga bahagian untuk orang Melayu sudah hampir lupus.
 
“Untuk orang Melayu pertahan serba sedikit yang tinggal itu Anwar anggap angkuh. Cuma apabila sudah tiada ada apa milik Melayu barulah tidak angkuh?” katanya. – MalaysiaGazette