ALUMNI dan universiti berpisah tiada seperti kata pepatah Melayu, sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk.
Sudah tentu alumni atau graduan ini adalah kemuncak penghasilan dan penciptaan universiti sebagai kilang akademik dalam melahirkan keupayaan modal insan yang unggul untuk negara.
Ironinya, alumni yang dihasilkan itu sebagai pemegang taruh yang sangat bernilai. Kejayaan seseorang alumni dalam kebolehpasaran pekerjaan dilihat berupaya membentuk reputasi, identiti dan imej kepada keunggulan universiti dalam proses berpanjangan.
Namun dilihat tiadanya ikatan wajib atau kekukuhan pulangan alumni kepada kilang akademiknya secara langsung, jangan menjadi seperti kacang lupakan kulit atau ulat lupakan daun pula.
Hanya peruntukan kewangan untuk pengurusan dan pembangunan universiti dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan menyebabkan tiada kajian khusus difokuskan sebelum ini untuk mendorong alumni memberikan sumbangan kepada universiti. Seolah-olah ia satu hala perjalanan.
Permasalahan sejagat ini sewajibnya diangkat daripada penggubal polisi kerana didapati kurang efisien untuk mencapai matlamat pendidikan tinggi negara yang sebenar-benarnya.
Alumni Universiti Bermuhasabah
Mungkin ramai membangkitkan apa peranan dan fungsi alumni universiti yang sepatutnya menjadi jambatan emas menerusi keluarga besar graduan dan universiti masing-masing.
Soalnya sekarang ialah setakat mana sumbangan alumni membantu universiti atau alma-maternya?
Namun tidak dinafikan pembabitan alumni dalam membiaya aktiviti di universiti antarabangsa menerusi Persatuan Alumni telah banyak dilaksanakan.
Sebagai contoh, pengoperasian Universiti Harvard, Yale, Princeton, Cambridge, dan Oxford melalui sumbangan berjumlah jutaan dollar atau pound sterling telah berkesan menonjolkan imej dan kegemilangan sesebuah institusi pengajian tinggi.
sumbangan dana luar kepada universiti-universiti di Amerika Syarikat berjumlah USD37.45 billion pada tahun 2014 dengan Universiti Harvard mengumpulkan dana melebihi USD1.6 billion.
Langkah baiknya jika dijadikan polisi atau akta di mana setiap alumni Universiti di Malaysia yang telah bekerja menyumbang dan menyalurkan sumbangan setiap bulan ke Tabung Wakaf atau endowment Universiti sebanyak RM1 agar jutaan kumpulan wang ini dapat digunakan oleh untuk pembangunan Universiti dan maslahah siswa khususnya siswa dari golongan keluarga B40.
Alumni Memperkasakan Kebolehpasaran Graduan
Yang menjadi isu semasa dan panas ialah laporan akhbar baharu-baharu ini yang memperlihatkan hampir dua juta pencari kerja menggunakan platform pekerjaan negara, MYfutureJobs dari 2020 hingga 10 Februari 2023, namun yang berjaya mendapat kerja dalam tempoh itu cuma 776,742 orang.
Daripada 776,742 tersebut, 251,815 membabitkan pemohon dalam kalangan belia atau graduan universiti. Kerajaan juga pernah memperuntukkan RM150 juta bagi pemberian Elaun Mencari Pekerjaan bagi golongan yang kehilangan kerja.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) turut melancarkan Insentif Kerjaya Madani 2023 sebagai langkah memperkukuh 10 inisiatif perlindungan keselamatan sosial dan pemerkasaan pasaran buruh tempatan.
Saya berpandangan sudah tiba masanya alumni universiti bergerak secara interaktif dalam usaha memupuk mesra-graduan malahan setiap alumni universiti perlu digerakkan secara tuntas dalam merebut penyediaan insentif melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membabitkan peruntukan RM313 juta yang mana kesinambungan kepada inisiatif di bawah Belanjawan 2023 menumpukan usaha meningkatkan peluang serta penempatan pekerjaan kepada pelbagai kumpulan sasar terutama dalam kalangan graduan.
Seperti mana disebut dalam jurnal Tingkah-laku Organisasi, “Alumni and their alma mater: A partial test of the reformulated model of organizational identification”, sebenarnya sebelum bergelar graduan, saya turut mengharapkan universiti menerusi Hal Ehwal Pelajar dari Unit Kerjaya hendaklah mengaplikasikan penggabungan dan perkongsian maklumat semasa sebagai penyediaan awal mahasiswa untuk melangkah dalam dunia sebenarnya.
Unit Kerjaya Universiti harus bekerja rapat dengan Persatuan Alumni agar melaksanakan Program Persediaan Kerjaya dan membuat ‘Mock Interview’ agar graduan tidak canggung di kerusi temuduga kelak.
Usaha murni seperti Insentif Kerjaya Madani yang bakal menumpukan kepada tiga elemen iaitu Program Daya Kerjaya, Daya Kerjaya Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta Program Bina Kerjaya ini sangat penting disebarluaskan dalam kampus universiti.
Mahasiswa pada tahun pertama pengajian lagi perlu mendapat maklumat terkini malahan usaha kerajaan dalam memfokuskan pembangunan Pusat Satelit MYFutureJobs di Pusat Transformasi Bandar (UTC) seluruh negara perlu diadakan setiap tahun di setiap universiti awam.
Ini bagi membolehkan padanan dan mengenal pasti bakat bakal graduan majikan dan pencari kerja mendapatkan kemudahan akses pekerjaan dengan lebih cepat dan mudah. Inisiatif Halal Development Corporation (HDC) menyediakan Halal Talent Portal adalah langkah yang terpuji agar graduan dalam bidang ini mudah dipadankan dengan lebih 7,000 majikan-majikan pemegang Sijil Halal di Malaysia.
Alumni Universiti Berbudi Bakti
Alumni universiti sendiri perlu ke depan dalam konteks kerjasama yang erat. Kesukarelawanan yang tinggi dituntut dalam pengurusan alumni itu bagi memastikan mahasiswa, bakal graduan, graduan dan kilang akademiknya mendapat keuntungan bersama.
Saya percaya soal pengangguran dapat dielakkan, soal pekerjaan yang menepati pengajian universiti dan kehendak industri sentiasa dipenuhi serta secara tidak langsung, menaikkan nama dan reputasi universiti sebagai penyediaan modal insan yang unggul.
Sudah tiba masanya pendekatan universiti lebih terbuka dengan alumninya kerana saya cukup yakin pendekatan sedemikian berupaya mempengaruhi mereka untuk membantu alma-maternya.
Malahan kecemerlangan dan keaktifan alumni universiti turut bersama-sama mampu menerapkan kepada bakal graduan sebagai faktor penarik kepada industri untuk turut sama menyumbang kepada universiti.
Contohnya, kesediaan Alumni UUM membantu Universiti menjenamakan asrama penginapan siswa atau inasis kepada nama-nama syarikat korporat seperti MAS, TNB, Tradewinds, Proton, Petronas, Sime Darby dan lain-lain dengan sedikit tajaan daripada syarikat-syarikat tersebut.
Menurut satu jurnal akademik “Do student evaluations match alumni expectations on Managerial Finance”, kesediaan memberikan sumbangan sebagai balasan kepada faedah yang diperoleh ini merupakan satu elemen kepercayaan sosial umum yang amat sukar untuk diperoleh.
Sewajibnya alumni dan universiti perlu mempunyai iltizam untuk berganding bahu memperkasakan modal insan graduan seperti kata pepatah , berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, bulat air oleh pembetung, bulat manusia oleh muafakat.
Sikap terbuka dan positif universiti dengan alumni universiti penting untuk diurus dengan baik bagi memastikan hubungan kedua-dua memberi manfaat jangka panjang dalam konteks Malaysia Madani. – MalaysiaGazette
• Abdul Rahim Abdul Rahman ialah Timbalan Presiden Persatuan Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) serta Pengurus Besar ANGKASA.