KUALA LUMPUR – Restoran Rebung berjaya menarik hampir 10,000 pengunjung yang hadir menikmati bufet Ramadan dengan tema masakan Santapan Di-Raja sepanjang Ramadan ini.
Pengurus Operasi, Alifah Alifah Iskandar Azam memberitahu, restoran itu sentiasa penuh dengan kapasiti 450 pengunjung setiap hari bermula minggu kedua Ramadan.
Jelas beliau, banyak tempahan terpaksa ditolak memandangkan pihak restoran tidak mahu menerima pengunjung yang berlebihan dalam usaha memberikan suasana selesa dan perkhidmatan berkualiti.
“Walaupun harga bufet mengalami kenaikan RM10 daripada RM89 tahun ke RM99, pengunjung tetap penuh dan apa yang paling penting mereka puas makan di restoran ini dengan juadah berkualiti.
“Kami jugta tidak merasakan kenaikan kos harga barangan mentah adalah sesuatu yang membebankan bagi kami menyajikan hidangan terbaik kepada pengunjung kerana antara bahan-bahan seperti sayur dan ulam adalah dari kebun sendii,” katanya.
Sepanjang Ramadan ini, Restoran Rebung yang dimiliki Datuk Chef Ismail turut menghiburkan dengan persembahan ghazal dari Orkes Melayu Rojer di samping menikmati susun atur restoran bertemakan Istana Melayu lengkap dengan takhta dan barangan klasik.
Berlangsung sepanjang bulan Ramadan bermula dari 23 Mac lalu hingga hari ini, Restoran Rebung yang cukup sinonim dengan masakan tradisional Melayu menawarkan lebih 100 hidangan yang pasti mencuit deria rasa para pengunjung.
Alifah menambah, pemilihan tema Santapan Di Raja yang dipilih bagi meneruskan sajian tradisi melayu serta memberi peluang orang ramai kembali ke zaman istana Melayu.
Antara hidangan utama yang disajikan adalah rendang pucuk ubi, tempoyak daun, nasi ulam, nasi hujan panas, daging salai lemak cili padi, asam pedas pari, patin tempoyak, masak lemak rebung, ayam percik dan macam-macam lagi masakan Melayu yang enak.
Alifah turut memberitahu, Restoran Rebung akan memperkenal Bufet Raya sepanjang Aidilfitri bagi membolehkan orang ramai terutama syarikat mengadakan jamuan raya di restoran itu. – MalaysiaGazette