KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menyegerakan usaha pemulihan bekalan beras putih tempatan di pasaran.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata, Anwar juga mengarahkan kementerian terbabit untuk memaklumkan perkembangan berkenaan pemulihan bekalan ini secara berkala kepada rakyat.
“Insya-Allah pemulihan bekalan ini sedang dilaksanakan secara berfasa,” katanya dalam taklimat harian hari ini.
Dalam pada itu, Tunku Nashrul turut menjelaskan bahawa Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri tidak bertindih dengan peranan Fahmi Fadzil sebagai jurucakap Kerajaan Madani.
Katanya, Taklimat Harian PMO memberi tumpuan kepada perkembangan harian dan gerak kerja Perdana Menteri, penjelasan beliau mengenai isu-isu semasa yang mendesak, serta arahan-arahan kepada kementerian dan agensi untuk memastikan dasar kerajaan dilaksanakan dengan tersusun dan berkesan.
Manakala peranan Fahmi selaku jurucakap kerajaan pula bertanggungjawab menjelaskan isu dan persoalan yang membabitkan dasar-dasar kerajaan, serta keputusan-keputusan yang dibuat di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
“Taklimat Harian PMO bukan pengganti kepada jurucakap kerajaan, tetapi menjadi pelengkap dan memperkukuh struktur komunikasi kerajaan.
“Dengan strategi komunikasi yang lebih menyeluruh, kerajaan dapat memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat, di samping mencantas fitnah dan maklumat palsu dengan pantas dan berkesan,” tambahnya.
Tunku Nashrul menambah, Perdana Menteri akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 bagi memperkukuh sistem demokrasi negara.
RUU ini untuk memberikan lebih kebebasan kepada Parlimen dalam menjalankan fungsi, peranan, dan tanggungjawabnya tanpa campur tangan pihak eksekutif.
















