GEORGE TOWN – Bimbang situasi raya terkejut berulang tahun ini, kebanyakan peniaga ayam mentah di beberapa premis serta pasar awam di negeri ini didapati tidak beroperasi.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati peniaga ayam segar di premis sekitar Sungai Ara, Bayan Baru serta Bukit Mertajam tidak beroperasi.
Manakala di pasar awam pula hanya beberapa peniaga bahan mentah itu membuka perniagaan.
Pembekal dan peniaga ayam di Pasar Awam Bukit Mertajam, Nur Hafidzin Jamil Noorzihad berkata, bimbang perlu menanggung kerugian seperti tahun lalu membuatkan mereka tidak beroperasi hari ini.
Jelasnya, tahun lalu dia dan beberapa pekerjanya terpaksa meneruskan perniagaan di pagi raya untuk memastikan bekalan 5,000 ekor ayam yang disediakan pihaknya terjual.
“Alhamdulillah semalam kira-kira 6,000 ekor ayam terjual dalam tempoh 8 jam bermula pukul 4 pagi.
“Itu memang jualan setiap petang raya cuma semalam kebanyakan pelanggan beli dalam jumlah berganda mungkin mereka juga bimbang raya mengejut.
“Selain itu, kami juga menasihatkan pelanggan untuk membuat pembelian awal kerana saya sudah ambil keputusan untuk tidak beroperasi hari ini meskipun raya diumumkan Sabtu ia bagi mengelakkan risiko sama yang ditanggung tahun lalu berulang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Turut berkongsi pekara sama, peniaga di Pasar Pulau Tikus, Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, dia menutup perniagaan hari ini atas faktor bimbang raya terkejut.
“Saya beroperasi sehingga jam 3 petang semalam untuk memastikan bekalan 320 ekor ayam terjual kerana takut raya mengejut hari ini.
“Ini persiapan awal yang boleh saya lakukan tahun ini bagi mengelakkan bekalan ayam yang ditempah tidak terjual seperti tahun lepas,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, situasi berbeza bagi peniaga ayam di Pasar Awam Bayan Baru, Muhammad Shaffi Yacob berkata, dia menyediakan 3,000 ekor ayam untuk dibeli pelanggan hari ini.
Jelasnya, persediaan untuk berniaga dilakukan selepas mendengar pengumuman hari raya Aidilfitri pada hari Sabtu.
“Kami tak mau kelam-kabut macam tahun lepas yang mana ayam banyak tidak terjual jadi tahun ni kami sediakan bekalan selepas pengumuman itupun kerana kita bimbang masih ada pelanggan yang belum membuat persediaan semalam.
“Tapi situasi itu sangat berbeza hari ini yang mana sehingga jam 11.30 pagi tadi masih masih terdapat 1,000 ekor ayam belum terjual berbanding semalam jam 5.30 pagi sudah ramai pelanggan beratur untuk beli ayam,” katanya sambil menambah hanya dua peniaga ayam beroperasi di pasar berkenaan hari ini. – MalaysiaGazette