KUALA LUMPUR – MCA akan mengadakan pemilihan parti bermula 20 April hingga 24 September.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, pemilihan parti MCA dijalankan secara sah dan munasabah serta mematuhi perlembagaan dan undang-undang.
Malah, beliau juga bersedia membantu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) merungkai segala kemusykilan mereka.
Katanya, Ibu Pejabat MCA menerima sepucuk surat dari RoS, mempersoalkan klausa “Pemilihan parti mestilah dimulakan dalam tempoh 6 bulan selepas Pilihan Raya Umum” yang terkandung dalam Artikel 167 Perlembagaan Parti yang tidak menyatakan had tempoh pemilihan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Pemilihan Parti memberitahu, hakikatnya klausa yang diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan MCA pada Disember 2019 itu telahpun dimajukan mengikut prosedur kepada RoS serta mendapat kelulusan pada Februari 2021, justeru surat pertanyaan RoS kali ini agak membingungkan.
“Pemilihan MCA akan dijalankan selama lima bulan, bermula di peringkat Cawangan pada hari ini, 20 April sehingga 24 September, sejurus pemilihan peringkat Pusat selesai. Seluruh proses adalah mematuhi Perlembagaan Parti, manakala jadual waktu pemilihan juga telah diluluskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat.”
Tegasnya, sebaik Barisan Nasional dan Pakatan Harapan membentuk Kerajaan Perpaduan, MCA memainkan pelbagai peranan secara aktif, dengan memberikan sokongan dan kerjasama tidak berbelah bahagi terhadap dasar-dasar kerajaan yang positif serta memanfaatkan rakyat, malah membantu melaksanakannya; tetapi sekiranya terdapat kepincangan dalam dasar mahupun kecacatan dari segi pelaksanaannya,
MCA tidak akan teragak-agak menegurnya serta bersuara bagi pihak rakyat.
“Paling penting, tidak kira berada di posisi apapun, MCA tetap mempertahankan asas pembinaan Malaysia, yakni kepelbagaian dan kesederhanaan, serta kebebasan dan demokrasi,” ujarnya. – MalaysiaGazette