LONDON – Jurgen Klopp percaya masa depan sudahpun bermula dengan pemikirannya beralih ke musim akan datang selepas berdepan kempen suram pada penggal ini.
Walaupun masih belum berputus asa sepenuhnya untuk layak ke Liga Juara-Juara, Pengurus Liverpool itu tahu penamat empat teratas sesuatu yang tidak mungkin memandangkan Liverpool kini ketinggalan sembilan mata di belakang Newcastle.
Bagaimanapun, sekiranya Liverpool gagal melayakkan diri ke Eropah, pengurus Jerman itu bertekad menggunakan peluang sebaik mungkin untuk membina semula skuad.
“Jadi masa depan sudah bermula, biar saya katakan seperti ini, tetapi sementara kami di sini, kami perlu memenangi perlawanan sekarang,” katanya seperti dilapor Liverpool Echo.
Klopp berkata demikian menjelang perlawanan malam ini di laman sendiri menentang Nottingham Forest yang diancam penyingkiran.
“Sekiranya kami tidak layak ke mana-mana pertandingan Eropah, ia jelas akan menjadi kekecewaan besar, tetapi kami harus memastikan kami tidak membuang masa dalam tempoh itu.
“Saya harap kami boleh mengambil beberapa pengajaran dari musim ini yang lebih berguna daripada hanya memberitahu apa yang salah.” ujarnya.
Liverpool berpeluang melakar sejarah merangkul empat gelaran sebelum ini berdepan tekanan yang menjadi igauan mereka musim ini.
“Banyak yang kami pelajari musim ini, banyak, bagaimana ia tidak boleh berjaya,” kata Klopp. – Agensi