Gelagat anak Giant Panda yang diberi nama Sheng Yi dari pasangan Giant Panda Xing Xing, dan Liang Liang yang dilahirkan di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) pada 31 Mei tahun lalu ketika di Zoo Negara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Zoo Negara berharap dua ekor panda besar iaitu Xing Xing dan Liang Liang akan tinggal lebih lama di Malaysia, tetapi menghormati keputusan kerajaan mengenai soal itu.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Amat Lana berkata, pinjaman dua ekor panda itu akan matang pada 2024, tetapi Zoo Negara berharap mereka akan berada di Malaysia selama lima tahun lagi.

“Dalam soal ini, kami hanya memainkan peranan untuk menjaga panda. Namun, kalau ditanya pendapat, kami akan berharap tempoh pinjaman dipanjangkan lima tahun lagi.

“Keputusan akhir berada di tangan kerajaan,” katanya ketika menerima wawancara Oriental Daily.

Beliau secara berjenaka berkata, petugas di pusat panda di Zoo Negara menjaga dua ekor panda itu lebih baik berbanding anak kandung sendiri.

“Panda hidup dengan sihat dan tidak pernah sakit.

“Setiap pagi, petugas akan menyediakan makanan, menyukat suhu, serta memeriksa kuku dan gigi,” katanya.

Menurutnya, kos makanan panda adalah kira-kira RM4,000 setahun dan tidak terlalu membebankan.

Katanya, kos paling tinggi sebaliknya adalah pendingin udara dalam pusat panda, kos penyelenggaraan, gaji pekerja dan kos kerja lebih masa mereka.

Rosly@Rahmat pada masa yang sama mengalu-alukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melawat Zoo Negara dan pihaknya akan mengeluarkan jemputan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast