Rakyat Arab Saudi dan asing yang dibawa keluar dari Sudan tiba di Jeddah, semalam.

JEDDAH — Tentera Laut Diraja Saudi (RSNF) menjalankan operasi membawa keluar rakyat serta warga negara asing, diplomat serta pegawai-pegawai kanan antarabangsa dari Sudan, pada Sabtu.

Kementerian Luar mengumumkan, RSNF menjalankan misi itu dengan bantuan pelbagai cawangan Angkatan tentera lain.

“Enam puluh enam orang dari Kuwait, Qatar, UAE, Mesir, Tunisia, Pakistan, India, Bulgaria, Filipina, Kanada dan Burkina Faso antara yang telah diselamatkan.

“Jumlah rakyat Arab Saudi yang telah diselamatkan pula adalah 91 orang,” kata kementerian itu.

Tambahnya, kesemua rakyat Arab Saudi dan rakyat negara lain telah selamat tiba di Pangkalan Laut Raja Faisal, Jeddah dan disambut Timbalan Menteri Luar, Waleed Al-Khereiji.

Menurut Waleed, perjalanan untuk menyelamatkan semua mangsa adalah jauh dan lama.

Ia bermula dari Khartoum dan melalui beberapa wilayah di Sudan sebelum tiba di Pelabuhan Sudan.

Dalam pada itu Kementerian Luar berkata, operasi berkenaan adalah menjunjung perintah Raja Arab Saudi dan dibantu pelbagai agensi kerajaan negara itu.- Agensi