ADUN Rawang, Chua Wei Kiat.
ADUN Rawang, Chua Wei Kiat.

RAWANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat mendakwa ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan namanya untuk tujuan penipuan.

Wei Kiat berkata, terdapat cubaan satu pihak yang menggunakan nama pusat khidmat masyarakatnya dengan menipu sebuah syarikat pembekal komputer bimbit yang dikesan bulan lalu.

“Perkara ini berlaku pada akhir bulan Mac di mana ada akaun Facebook pelatih saya, Wong Yu Qi yang palsu dan menghubungi syarikat IP Maker Solution untuk bertanya satu sebut harga bagi mendapatkan lima komputer bimbit.

“Akaun Facebook itu menyatakan mereka tengah cari lima buah komputer bimbit dengan harga RM3,500 menggunakan e-mail [email protected].

“Ia bertujuan untuk mengadakan satu pertandingan dalam talian menggunakan nama pejabat saya,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.

Atas permintaan itu, syarikat tersebut telah membuat pembelian lima komputer bimbit tersebut dan menunggu pihak ‘ADUN Rawang’ untuk mengambil komputer berkenaan.

Ia bagaimanapun tidak dijawab dan pekerja syarikat pembekal tersebut datang ke pejabat ADUN Rawang kerana telah menunggu selama tiga minggu tanpa sebarang jawapan.

Jelas Wei Kit, susulan itu IP Maker Solution mendapat tahu bahawa pusat masyarakat ADUN Rawang tidak membuat sebarang pembelian terhadap kesemua komputer bimbit berkenaan.

“Sebelum Aidilfitri wakil syarikat datang ke pejabat saya bertanyakan bila saya boleh datang ambil komputer bimbit berkenaan, saya terperanjat sebab saya tidak ada membuat sebarang tempatan.

“Maka berdasarkan maklumat syarikat berkenaan, akaun Facebook berkenaan adalah palsu dan pihak saya telah membuat laporan polis pada 20 April lalu untuk siasatan,” katanya.

Kesemua komputer bimbit yang dibeli oleh IP Maker Solution adalah bernilai RM17,495.

Tambah Wei Kiat lagi, pihaknya risau perkara sama akan berlaku kepada pihak-pihak lain dan meminta agar semua pihak berhati-hati sekiranya berdepan dengan situasi sama.

Katanya, pihak yang membuat penipuan ada menyebut kepada pembekal berkenaan bahawa mereka akan menggunakan syarikat e-hailing bagi mendapatkan kelima-lima komputer bimbit berkenaan.

“Saya syaki mereka nak buat penipuan ke atas kelima-lima komputer bimbit berkenaan dengan menggunakan syarikat e-hailing sebagai platform untuk mendapatkan barang berkenaan.

“Ini amat pelik kerana syarikat pembekal dan pusat khidmat masyarakat ADUN Rawang terletak tidak jauh,” katanya. – MalaysiaGazette