Saifuddin Nasution bertemu dengan anggota Maritim Malaysia (APMM) yang bertugas sempena Op Khas Pagar Laut di atas Kapal Maritim (KM) Burau di Batu Maung.

BATU MAUNG – Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan , Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan desas-desus gerakan mahu menggulingkan Kerajaan Perpaduan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) bukan satu ancaman.

Sebaliknya, Saifuddin menegaskan kerajaan perpaduan dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih fokus dalam memulihkan ekonomi negara serta menjaga kebajikan rakyat.

“Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan yang stabil, kukuh dan berfungsi untuk terus mentadbir negara ini.

“Malah, kita lebih fokus untuk membantu serta menjaga kebajikan rakyat terutamanya selepas pandemik Covid-19 melalui pemulihan ekonomi.

“Saya tak cadang nak respon terhadap apa jua desas-desus di luar sana kerana saya tak lihat perkara (gulingkan kerajaan) sebagai satu ancaman sebaliknya percaya dengan kredibiliti kerajaan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah portal yang mendakwa terdapat percubaan untuk menggulingkan Kerajaan Perpaduan menerusi PRN.

Terdahulu, Saifuddin meninjau dan menyampaikan bingkisan raya kepada anggota Maritim Malaysia (APMM) yang bertugas sempena Op Pagar Laut di atas Kapal Maritim (KM) Burau di sini, hari ini.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim dan Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Abd Razak Mohamed. – MalaysiaGazette