Anggota polis mengiringi seorang lelaki yang dituduh menghina Sultan Johor menggunakan akaun Facebook indera Mulia tiba di Mahkamah Sesyen Jenayah Siber Kuala Lumpur untuk pertuduhan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 28 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur dituduh di Mahkamah Jenayah Siber di Jalan Duta di sini hari ini atas dakwaan memuat naik hantaran jelik menghina Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail di laman Facebook minggu lalu.

Tertuduh Muhammad Indera Mulia Ahmad, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan.

Muhammad Indera Mulia di bawa ke mahkamah oleh polis Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi jam 9.30 pagi tadi ke mahkamah dalam keadaan tangan bergari dengan berbaju kemeja berwarna oren dan berseluar pendek.

Tertuduh dihadapkan ke kandang pertuduhan jam 11.35 pagi tadi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lain yang jelik sifatnya iaitu berbunyi” Sulatan ni kang sang celake kan…heee tak sesia orang kenal guna fone…dpt sepak balik heee sial ko buku undang mesra lame carge cakap tak elok” dengan niat hendak menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu pada 21 April lalu jam lebih kurang 10.29 pagi melalui perkhidmatan aplikasi Facebook menggunakan laman profil Facebook “Indera Mulia” yang kemudian telah dibaca pada 23 April lalu jam lebih kurang 6 petang di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman di Wangsa Maju.

Oleh demikian, tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Akta 588 dan boleh juga dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemilik akaun Facebook ‘Indera Mulia’ hina Sultan Johor diberkas

Hina Sultan Johor : Pemilik akaun ‘Indera Mulia’ direman empat hari

Jika disabitkan kesalahannya boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess lynn mencadangkan wang jaminan RM15,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang memuat naik sebarang hantaran mengenai kes berkenaan sehingga perbicaraan selesai.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah agar nilai wang jaminan dikurangkan kerana dia tidak berpekerjaan langsung selain mempunyai tanggungan keluarga serta jumlah hutang kewangan yang banyak yang perlu dijelaskan di luar.

“Wang jaminan yang dicadangkan untuk saya RM15,000?, saya tak ada duit langsung.. saya nak rayu dikurangkan sebab saya mempunyai tanggungan serta ada hutang yang banyak yang perlu dibayar,” katanya.

Selepas mendengar hujah dan rayuan tersebut, Priscilla Hemamalini membenarkan tertuduh dengan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.

Sementara Priscilla juga menetapkan 26 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen kes tersebut.

Pada Isnin lalu, Setiausaha PDRM Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin mengesahkan tentang penahanan suspek warga tempatan berusia 35 tahun itu kerana disyaki menghina Sultan Johor dengan memuat naik hantaran jelik di Facebook bernama “Indera Mulia” pada 20 April lalu.

“Suspek telah ditangkap di sebuah rumah di Puchong dan pemeriksaan terhadapnya berjaya merampas sebuah telefon bimbit jenis Samsung dan juga kad sim Redone,” katanya.

Pada 25 April lalu, suspek telah direman selama empat hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast