Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang disyaki membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar di media sosial ditahan polis.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Puchong pada hari ini.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas satu telefon bimbit berjenama Samsung dan sekeping kad sim Redone disyaki barang jenayah.

“Suspek dipercayai memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor Johor menerusi akun Facebook ‘Indera Mulia’ pada 20 April lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kes berkenaan disiasat Unit Jenayah Siasatan Terkelas (USJT) Bahagian D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Katanya, siasatan ke atas suspek dilakukan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap raja atau kerajaan.

Jelasnya, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat pada 25 April 2023 (Selasa) di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. – MalaysiaGazette