Lebuh raya utama dijangka sesak berikutan cuti 1 Mei dan mood orang ramai yang masih meraikan Aidilfitri.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan pertambahan dalam aliran trafik kenderaan di jalan raya dan lebuh raya utama di seluruh negara pada akhir minggu ini bermula malam ini.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman akan melaksanakan Op Lancar sekali lagi bermula hari ini sehingga 1 Mei untuk mengawal kelancaran aliran trafik kenderaan.

Pengarahnya, Komisioner Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, langkah itu susulan polis menjangkakan aliran kenderaan yang tinggi dan kesesakan di jalan memandangkan orang ramai masih dalam ‘mood’ berhari raya di kampung halaman masing-masing.

Katanya, ia juga ditambah dengan faktor berakhirnya cuti persekolahan termasuk cuti am Hari Pekerja pada 1 Mei  yang bakal menyaksikan rakyat mula kembali dari kampung halaman mereka ke ibu negara.

“Justeru bagi melancarkan pergerakan kenderaan pengguna di atas jalan raya dan lebuh raya pada hujung minggu ini, Op Lancar akan dilaksanakan semula bermula 28 Mei (Jumaat) hingga 1 Mei ini terutama di kawasan-kawasan ‘hotspot’ yang dijangka berlaku kesesakan aliran lalu lintas yang tinggi.

“Para petugas PDRM akan ditempatkan di lokasi-lokasi panas yang dikenalpasti bagi memastikan aliran trafik kenderaan di kawasan itu berjalan lancar dan senantiasa terkawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, polis turut mengambil tindakan langkah-langkah penyuraian kesesakan ialah dengan mengaktifkan laluan pintar atau ‘smartlane’ di Lebuh Raya Utara Selatan dengan kerjasama pihak Plus Berhad (PLUS).

Menurutnya lokasi yang terlibat pembukaan laluan Smartlane adalah di persimpangan Port Dickson hingga Persimpangan Seremban antara Kilometer 260 hingga KM263.1 (Arah Utara), Persimpangan Senai Utara hingga Persimpangan Kulai antara KM 19.0 hinga KM27.0 (arah Utara); Gua Tempurung-Gopeng antara KM306.7 hingga KM297.0 arah Utara;Slim River ke Sungkai antara KM367.3 hingga KM354.1 (arah Utara) dan akhirnya membabitkan Rawang ke Sungai Buaya antara KM439.9 ke RM435.5 (arah Utara).

“JSPT juga mengalu-alukan sebarang info dan maklumat berkaitan kemalangan atau kesesakan luar biasa daripada semua pengguna jalan raya dan boleh menyalurkan kepada Bilik Gerakan Trafik Bukit Aman di Talian 03-22663356 yang bertugas 24 jam setiap hari,” tegasnya. – MalaysiaGazette