KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meletakkan sasaran 40 pingat emas, 37 perak dan 64 pingat gangsa untuk kontinjen negara dalam Sukan SEA edisi ke-32 di Kemboja bermula 5 hingga 17 Mei ini.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, sasaran jumlah pingat itu realistik dan ia diputuskan dalam tiga sesi perbincangan sebelum ini.
Katanya, untuk temasya di Kemboja yang akan membuka tirai Jumaat nanti, seramai 676 atlet kontinjen Malaysia akan mengambil bahagian dalam 33 daripada 36 jenis sukan yang dipertandingkan.
“Daripada segi jumlah itu, acara kontinjen kita hanya akan mengambil bahagian dalam 340 acara atau hanya 50.8 peratus daripada keseluruhan 582 acara yang akan dipertandijngkan di Kemboja kali ini.
“Ini bermakna kontinjen Malaysia tidak akan bersaing dalam perebutan 242 pingat emas, perak dan gangsa pada kali ini memandangkan acara-acara sukan yang tidak disertai itu adalah daripada sukan-sukan pilihan tuan rumah Kemboja dan merupakan jenis sukan yang asing bagi kontinjen Malaysia yang tidak memberi kelebihan kepada kita di sana.
“Sasaran pingat kali ini juga ditetapkan menerusi sesi libat urus bersama semua persatuan sukan kebangsaan yang bertanding di sukan SEA kali ini selain turut mengumpul data terkini kemampuan atlet pesaing dari negara-negara lain yang turut bertanding,”katanya dalam sidang media di Majlis Sukan Negara, Buki Jalil hari ini.
Terdahulu Hannah menyerahkan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia yang akan membawa misi negara ke Kemboja.
Beliau juga menegaskan, kali ini Malaysia akan dianggotai seramai 927 anggota kontinjen terdiri daripada 676 atlet, 251 pegawai KBS dan daripada jumlah 676 atlet seramai 401 orang lelaki dan 275 orang adalah wanita.
Justeru, seramai 440 daripada jumlah keluruhan 676 atlet iaitu sebanyak 65 peratus bakal membuat penampilan pertama di temasya di Kemboja kali ini .
Jumlah keseluruhan atlet yang mewakili kontinjen malaysia juga seamai 387 orang atau 56.33 peratus atlet berusia bawah umur 23 tahun.
Sukan olahraga menyaksikan penyertaan jumlah atlet teramai ke Kemboja iaitu seramai 65 atlet dan 21 pegawai selain itu 262 atlet dan 90 pegawai daripada tujuh acara berpasukan ke sukan SEA.
Tambah beliau, sasaran pingat yang ditetapkan pihaknya turut mengambilkira keputusan negara penganjur yang tidak menyenaraikan 57 acara daripada sukan SEA Vietnam sebelum ini yang menyaksikan kontinjen negara kehilangan 18 pingat emas 16 perak dan 30 gangsa.
Katanya, pecahan sukan yang tidak dipertandingkan tuan rumah Kemboja kali ini adalah tiga acara akuatik terjun, tiga acara sukan tinju, satu acara berbasikal mountain bike, dua sukan berbasikal lebuh raya, satu acara sukan dance sport dua acara esport, satu acara footsal wanita, tiga acara gimnastik artistik, satu acara kick boxing, tiga acara silat olahraga, dua acara sepaktakraw, tiga acara wushu, tujuh acara memanah, empat acara menembak, dua acara catur, dua acara gimrama, tiga acara tenpin bowling dan lapan acara bina badan.
“Kita juga percaya ada atlet-atlet kita yang mampu cipta kejutan yang tidak mustahil menambah jumlah pungutan pingat keseluruhan untuk kontinjen Malaysia daripada Kemboja kali ini.
“Selain itu, saya juga mengambil maklum yang mungkin timbul dan mungkin terpaksa dihadapi oleh atlet negara yang mana oleh kerana ini adalah kali pertama Kemboja menjadi tuan rumah temasya sukan SEA antara isu yang dibangkitkan adalah tentang soal penempatan para atlet memandangkan perkampungan atlet sukan masih belum siap sepenuhnya.
“Kami baru sahaja dimaklumkan mengenainya dan ia mengakibatkan ada sebahagian atlet-atlet terpaksa dipindahkan ke hotel-hotel di Phnom Penh yang mungkin dikuatiri menimbulkan isu lain terutama isu pembekalan makanan halal untuk atlet negara beragama Islam selain dimaklumkan bahawa keadaan lalu lintas yang sesak dari tempat penginapan ke venue pertandingan,” ujar Hannah.
Dengan mengambil kira kesemua keadaan itu, pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran seperti mana beberapa negara lain dalam aspek menamatkan saingan di tempat ketiga atau keempat terbaik keseluruhan temasya kali ini.
Sebaliknya, kata beliau, pihaknya hanya memfokuskan sepenuhnya kepada jumlah pingat yang ditetapkan untuk dikutip pada temasya Kemboja kali ini. – MalaysiaGazette