Projek PSI sebelum ini terdiri daripada tiga pulau namun kini dikecilkan kepada satu pulau.

GEORGE TOWN – Tiada keperluan untuk berdebat berhubung isu projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) kerana ia telah melalui satu proses yang panjang hingga lapan tahun sebelum berjaya memperoleh kelulusan Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), baru-baru ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, proses berkenaan telah melibatkan pihak berkepentingan, paparan awam dan lain-lain proses sebelum mendapat kelulusan EIA pada 11 April lepas.

“Sebarang pertikaian, soalan atau jawapan berhubung projek PSI sudah berlalu, malah JAS dan semua agensi teknikal juga telah meletakkan syarat dan sekiranya kerajaan negeri tidak dapat mematuhi syarat-syarat maka Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) pun tidak akan diluluskan.

”Kalau boleh diluluskan, maksudnya ia (projek PSI) telah melalui satu penelitian yang rapi oleh semua jabatan, barulah JAS boleh keluarkan keputusan dengan semua syarat dipatuhi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri pelancaran sambutan Hari Wesak peringkat Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang juga Presiden Gerakan yang mencabar Chow berdebat isu pembangunan PSI dan Seberang Perai.

Menurut Chow, fokus kerajaan negeri ketika ini adalah kepada persediaan pelaksanaan projek PSI untuk proses-proses tebus guna laut.

”Minggu akan datang saya akan umumkan apa yang kita cadangkan dalam PSI khususnya di pulau A, itu ialah fokus kita pada masa ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, tiada keperluan untuk mengadakan debat dengan mana-mana pihak dan sekiranya ada yang tidak berpuas hati dengan pelaksanaan projek itu, mereka boleh membawa perkara itu ke mahkamah.

“Kita pandang ke depan, kalau beliau (Lau) tidak ambil bahagian dalam proses sebelum ini saya tidak boleh kata apa-apa kerana proses ini sudah berlalu, mungkin dia mahu bawa ke mahkamah, itu hak dia. Tetapi setakat ini tidak ada keperluan (untuk berdebat), semua sibuk mahu pilihan raya,” katanya.

Chow pada Rabu lepas mengumumkan bahawa EIA bagi projek PSI telah mendapat kelulusan bersyarat daripada JAS Putrajaya dalam surat bertarikh 11 April dan kelulusan EIA itu merupakan kelulusan berasaskan 71 syarat ditetapkan termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan SIMP dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) projek berkenaan.

PSI ialah projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan kira-kira 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas, namun projek itu mendapat bantahan komuniti nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar kerana didakwa akan merosakkan ekosistem laut. – Bernama