Gambar hiasan

IPOH – Polis membuka kertas siasatan terhadap seorang lelaki selepas mendakwa pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh enggan menerima aduan daripadanya berkaitan ancaman ceti haram.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata kertas siasatan dibuka susulan laporan yang dibuat terhadap lelaki terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Siasatan awal mendapati, pengadu (lelaki) mengaku bahawa beliau tersilap faham tentang nasihat yang diterima daripada pegawai polis dan melakukan kesilapan memuat naik video (kononnya polis enggan menerima aduan) tersebut di TikTok.

“Pengadu telah memadamkan video berkenaan semalam selepas menyedari kesilapan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata sebelum itu, lelaki itu telah datang ke Balai Polis Sentral (di bawah seliaan IPD Ipoh) dan memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) bertujuan mendapatkan nasihat daripada polis mengenai tindakan menurunkan pelbagai poster iklan peminjam wang di sekitar Ipoh.

“Pengadu tidak berjumpa dengan pegawai kanan polis seperti dakwaan beliau dan hanya mendapatkan nasihat daripada seorang pegawai polis yang sedang bertugas di Balai Polis Sentral.

“Setelah memperoleh nasihat daripada pegawai polis tersebut, pengadu terus beredar tanpa memberitahu hendak membuat sebarang laporan polis. Dalam perkara ini, isu pihak polis enggan menerima laporan daripada pengadu tidak wujud sama sekali,” katanya.

Malam tadi, Yahaya dilaporkan berkata dakwaan seorang pengguna aplikasi TikTok bahawa polis enggan menerima aduan sudah dirujuk kepada Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard, IPD Ipoh untuk siasatan dalaman.

Siasatan dilakukan selepas pihaknya mengesan satu video berdurasi 35 saat dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter, memaparkan seorang lelaki pengguna laman TikTok mendakwa polis IPD Ipoh enggan menerima  aduannya.

Pengguna TikTok berkenaan mempersoalkan tindakan seorang pegawai berpangkat ASP di IPD Ipoh yang didakwanya enggan mengambil laporan bagi tujuan keselamatan atas tindakan berani lelaki itu menurun dan memusnahkan ratusan gegantung iklan ‘along’.

— BERNAMA