PUTRAJAYA – Usaha Kerajaan Perpaduan memerangi rasuah termasuk mengheret beberapa pemimpin politik ke mahkamah tidak mempunyai kaitan dengan dendam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perasuah-perasuah besar mesti dihapuskan sekiranya rakyat mahu melihat ekonomi berkembang sekali gus meningkatkan hasil kerajaan.
“Saya lebih faham masalah dan derita rakyat tapi ada yang mengatakan ini dendam.
“Apa dendam? Kamu curi ratusan juta ringgit, kita ambil tindakan, mereka kata dendam,” katanya ketika berucap menyampaikan amanat pada program Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Walaupun tidak menyatakan mana-mana pihak secara khusus, ucapan itu dipercayai merujuk kepada kritikan yang dilemparkan oleh pembangkang terhadap kerajaan ekoran pendakwaan terhadap pemimpin-pemimpin kanan mereka di mahkamah atas tuduhan berkaitan rasuah.
Antara mereka yang berdepan tindakan tersebut ialah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengingatkan semua pihak bahawa kerajaan pimpinannya mengambil alih pentadbiran negara dalam keadaan kewangan yang sangat parah dengan hutang mencecah RM1.5 trilion.
“Sebahagiannya kerana iklim ekonomi, sebahagian kerana ‘rompakan’ dan porak-peranda sistem ekonomi,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pekerja di negara ini agar bersama-sama dengannya dalam usaha memerangi gejala rasuah.
“Saudara hanya memerlukan RM200 tambahan sebulan, ada yang lebih kurang penambahan yang saudara perlukan.
“Dan yang saudara perlukan itu bukan untuk membeli mobil besar, rumah besar, hanya untuk kebajikan pendidikan kesihatan anak-anak.
“Itu pun sukar diperolehi tetapi pembesar-pembesar, pemimpin-pemimpin sauk ratusan juta (ringgit) wang rakyat,” katanya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menempelak sikap pihak tertentu yang dikatakan berselindung di sebalik agenda perjuangan Melayu dan Islam untuk mempertahankan sistem dan pemimpin yang korup.
“Ada mereka suarakan nasib pekerja, gaji penjawat awam dan swasta tidak munasabah? Tak pernah buat.
“Yang mereka buat pertahankan, jangan dendam, jangan zalim, jangan bertindak ke atas perasuah-perasuah,” katanya. – MalaysiaGazette
BangNon berikrar hapus LANUN dan PEROMPAK… tapi tak sampai 30 saat KES tu disembangkan dalam UCAPAN kenapa???
mesti TERBAYANG-BAYANG wajah anak muridnya menjeling sambil BERSERINGAI… tu sebab terlalu syok sembang la hingga terbabas tapi sempat terlepas sebut…. puluhan dan ratusan juta….
tapi kenapa tak berani sebut NAMA sebab… ehemm ehemm….