KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran tampil melahirkan penghargaan kepada seluruh warga pekerja bersempena sambutan Hari Pekerja hari ini.
Kata beliau, sumbangan dan pengorbanan golongan pekerja sebenarnya yang telah membangun dan memperkasakan negara ke era lebih maju saban tahun.
“Ucapan terima kasih sahaja tidak cukup, sememangnya anda telah menyumbang ke arah kejayaan Malaysia seperti mana yang kita kecapi kini. MIC mengucapkan penghargaan yang tidak terhingga kepada anda semua. 1 Mei ini kita dedikasikan kepada setiap insan yang bekerja keras membawa kepada kepesatan kita hari ini.
“Pada masa sama, kerajaan sentiasa bekerja keras dalam memastikan setiap kebajikan, kepentingan golongan pekerja ini di utamakan serta menjadi fokus saban tahun. Malah tahun ini dengan adanya kerajaan Madani, banyak lagi inisiatif dan perubahan akan di bawa.
“MIC sendiri sentiasa memberi fokus dalam isu-isu pekerja terutamanya yang melibatkan kaum India di negara ini, kita sentiasa komited dan terus berusaha dalam melakukan yang terbaik bagi memastikan tidak ada yang tertinggal.
“Dalam pada itu saya harap semua dapat meluangkan masa berkualiti dengan ahli keluarga tersayang sempena cuti hujung minggu ini, Selamat Hari Pekerja kepada semua,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Hari Pekerja disambut pada 1 Mei setiap tahun dan tema sambutan tahun ini ialah ‘Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani’. -MalaysiaGazette