Penghadang batu yang diletakkan di laluan masuk ke Residensi Zamrud ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Zamrud Utama, Kajang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 29 APRIL 2023.

BANGI – Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) perlu menyelesaikan isu penutupan jalan dengan bongkah konkrit yang melibatkan Kampung Sungai Tangkas dan penduduk Residensi Zamrud.

Isu tersebut dilaporkan MalaysiaGazette Sabtu lalu.

Artikel berkaitan: Penghadang batu susahkan penduduk, ganggu urusan waktu kecemasan

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata, beliau pernah mencadangkan kepada MPKj melalui usul pada Disember tahun lalu agar penutupan jalan itu dibuat menggunakan palang.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini tiada sebarang tindakan oleh pihak berkuasa tempatan itu yang sepatutnya bertanggungjawab mencari jalan penyelesaian kekal dalam isu ini.

“Sebelum ini ada terima aduan ambulans tidak dapat mengakses masuk ke dalam kawasan perumahan itu disebabkan ada halangan bongkah konkrit yang menutup jalan dan memaksa mereka berpusing jauh untuk urusan bantuan kecemasan.

“Tetapi setakat ini saya tidak nampak cadangan ini diterima untuk pertimbangan serius oleh MPKj.

Syahredzan Johan

“Ini bukanlah benda baharu, cuma saya nak tekankan bahawa harap pihak berwajib cuba selesaikan masalah ini sebaik mungkin sebab saya tidak mahu memihak mana-mana orang.

“Dalam isu ini ada rasional dari kedua-dua pihak penduduk yang harus diambil kira dan mencari penyelesaian yang boleh diterima,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui Majlis Piknik Raya malam tadi.

Menurut Syahredzan, isu penutupan jalan itu melibatkan perbezaan pendirian di antara penduduk di Kampung Sungai Tangkas dan penghuni Residensi Zamrud.

Katanya, beliau dimaklumkan penduduk kampung itu mahu laluan kawasan itu ditutup kerana jalan kampung itu sesak dengan aliran jumlah trafik yang tinggi.

Jelasnya lagi, penduduk kampung itu mengadu kepada MPKj memohon supaya jalan itu ditutup bagi menghalang laluan kenderaan sebelum diluluskan dan ditutup dengan bongkah batu konkrit.

“Malangnya sehingga sekarang saya tidak menerima secara bertulis daripada MPKj mengenai kelulusan menutup jalan itu sebaliknya kami hanya diberitahu secara alisan mengenainya.

“Jadi saya segera menulis surat kepada MPKj supaya surat hitam putih meluluskan penutupan jalan itu diberikan kepada saya dan penduduk Residensi Zamrud namun sehingga kini belum diterima lagi.

“Inilah kekesalan saya sehingga hari ini kerana pada saya kalau keputusan menutup dibuat, penghuni Residensi perlu dimaklumkan kenapa ia ditutup untuk akses kenderaan dan mereka berhak untuk mengetahuinya,” tegasnya lagi.

Pada 29 April lalu,  MalaysiaGazette melaporkan tentang penutupan simpang masuk ke kawasan perumahan di Jalan Zamrud Utama dari Jalan Kelisa 2, Kampung Sungai Tangkas di sini sejak dua tahun lalu benar-benar menyusahkan penduduk di situ.

Meskipun laluan satu lorong itu hanya boleh dilalui dua kenderaan dalam satu masa, ia menjadi laluan alternatif pilihan ramai berikutan ia memendekkan masa perjalanan dari kawasan perumahan itu ke laluan utama.

Namun penutupan jalan yang melibatkan 11 bongkah konkrit itu bukan sekadar menimbulkan kesulitan kepada penduduk malah menyukarkan urusan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba dan ambulans untuk memasuki perumahan apabila berlaku kecemasan.-MalaysiaGazette