Penghadang batu di letakan di pintu masuk Zamrud yang menyusahkan penduduk dan urusan ambulan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di jalan Zamrud Utama, Kajang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 29 APRIL 2023.

KAJANG – Penutupan simpang masuk ke kawasan perumahan di Jalan Zamrud Utama dari Jalan Kelisa 2, Kampung Sungai Tangkas di sini sejak dua tahun lalu benar-benar menyusahkan penduduk.

Meskipun laluan satu lorong itu hanya boleh dilalui dua kenderaan dalam satu masa, ia menjadi laluan alternatif pilihan ramai berikutan ia memendekkan masa perjalanan dari kawasan perumahan itu ke laluan utama.

Penghadang batu yang diletakkan di laluan masuk ke Residensi Zamrud ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Zamrud Utama, Kajang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 29 APRIL 2023.

Namun penutupan jalan yang melibatkan 11 bongkah konkrit itu bukan sekadar menimbulkan kesulitan kepada penduduk malah menyukarkan urusan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba dan ambulans untuk memasuki perumahan apabila berlaku kecemasan.

Lee Tong Bian, 57, yang menetap di Residensi Zamrud sejak ia dibuka pada penghujung 2019 mengakui, dalam beberapa kejadian sebelum ini, pihak berkuasa yang menerima panggilan kecemasan terpaksa keluar berpatah balik selepas tiba di lokasi kejadian dan mendapati tiada laluan masuk.

Lee Tong Bian.  Foto MUHD NA’IM, 29 APRIL 2023.

“Penghadang batu ini memang menjadi masalah buat penduduk terutama daripada segi keselamatan kami di sini mungkin ada kebakaran atau apa-apa bencana lain nanti. Hari itu pun ada juga yang nak terjun bangunan bunuh diri, bomba sampai sini tapi terpaksa pusing keluar balik.

“Nak keluar dari perumahan ini ke jalan utama pun sudah hampir lebih setengah jam pada waktu kemuncak. Dua hari lepas juga ada kemalangan maut, ambulans terpaksa keluar semula dan ikut laluan utama.

“Mungkin kalau penghadang ini dibuka, masih sempat diselamatkan,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Tong Bian, kesesakan luar biasa turut memaksa penduduk beredar dari rumah ke tempat kerja pada awal pagi bagi mengelak tersangkut di dalam kesesakan trafik yang teruk.

Penghadang batu di letakan di pintu masuk Zamrud yang menyusahkan penduduk dan urusan ambulan di jalan Zamrud Utama, Kajang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 29 APRIL 2023.

“Bukan kami (penduduk Residensi Zamrud) sahaja yang guna laluan utama itu, dari Bandar Teknologi pun keluar ikut sini juga. Mereka yang berkeluarga, nak hantar anak ke sekolah semua kadang-kadang kelihatan tergesa-gesa.

“Kalau nak keluar, kena sebelum 6.30 pagi, kalau tidak, di sini sahaja boleh sangkut setengah jam,” katanya lagi.

Perkara sama turut dibangkitkan Ahmad Izzudin Ahmad Jamil, 26, yang juga salah seorang penduduk yang berdepan masalah yang sama.

Bahkan beliau mempersoalkan kewujudan batu penghadang berkenaan yang tiada fungsi langsung tetapi menyusahkan pengguna jalan dan penduduk setempat.

Ahmad Izzuddin Ahmad Jamil . Foto MUHD NA’IM, 29 APRIL 2023.

“Penghadang batu ini memang agak mengganggu, saya tak tahu apa fungsinya.

“Ada hari yang terpaksa ke pejabat naik kereta tapi tetap kena naik motosikal sebab jalan utama memang dah cukup sesak.

“Memang mengganggu dari segi masa dan sedikit susah kalau ada emergency. Kena pusing keluar balik ikut Jalan Reko, makan agak-agak 10 minit nak ke sana (Jalan Reko) belum tambah masa sesak depan tempat itu lagi.

Penghadang batu di letakan di pintu masuk Zamrud yang menyusahkan penduduk dan urusan ambulan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di jalan Zamrud Utama, Kajang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 29 APRIL 2023.

“Kalau batu (penghadang) ini tiada, semua orang dapat guna jalan ini dan memudahkan semua orang. Sekarang kalau nak guna jalan belakang ini, kena jalan kaki, basikal atau motor sahaja,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hafiz Ahmad Shukri mendakwa, penduduk Kampung Sungai Tangkas yang didakwa bertanggungjawab  meletakkan batu penghadang ekoran beberapa kemalangan menyebabkan kematian haiwan peliharaan di kampung itu.

Menurut beliau yang menetap di Residensi Zamrud sejak dua tahun lalu, sebelum ini, laluan itu pernah dibuka namun ditutup selepas kejadian berkenaan.

Penduduk, Abdul Hafiz Ahmad Shukri . Foto MUHD NA’IM, 29 APRIL 2023.

“Pada permulaannya dalam beberapa bulan sahaja jalan itu dibuka. Lepas itu kami dikhabarkan dari penduduk dan Ketua Kampung Sungai Tangkas ada berlaku kematian kucing dan ayam di kampung itu apabila kita (penduduk Residensi Zamrud) cross jalan ini ke kampung dia untuk keluar ke arah Sungai Tangkas atau ke arah Taman Universiti dan ke arah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Dengar khabar macam itu (arahan ketua kampung) yang tidak membenarkan penduduk residensi ini menggunakan laluan Sungai Tangkas menggunakan kereta,” katanya.

Menurut Abdul Hafiz, persatuan penduduk residensi itu juga pernah berkongsi permasalahan melalui laman Facebook, mengajukan isu kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Tanah, wakil rakyat termasuk kepada ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.

“Tapi sehingga kini masih berlarutan, sembang macam itu je. Jawapannya? Orang ini pass ke orang ni pass ke orang ni, kemudian tiada kuasa, tiada kuasa.

“Saya minta pihak berkuasa berilah kerjasama, dua hari lalu ada kemalangan, anak orang kampung sendiri yang eksiden dan meninggal. Polis, bomba nak reroute balik je jalan utama pun hampir sejam, kena naik jejambat lagi masuk ke Kajang Utama, memang menyusahkan,” ujarnya.

Sallah Mat Ali, 60, yang hendak beraya  di rumah rakannya di residensi itu pula mengeluh dengan laluan yang mengelirukan.

Sallah Mat Ali . Foto MUHD NA’IM, 29 APRIL 2023.

Katanya, apa yang dipaparkan di aplikasi navigasi seperti Google Maps dan Waze hanya menunjukkan laluan yang terhalang oleh batu penghadang itu.

“Google Maps bawa ikut laluan sini, bila sudah sampai tengok dah kena block tak boleh masuk. Rupanya, kena keluar balik naik jejambat, pusing lagi walhal lagi lima minit saya sudah nak sampai, 1.3 kilometer sahaja.

“Memang satu masalah buat orang yang tak biasa, tak perlu sehingga macam ini, kalau perlu pun buatlah betul-betul ikut peraturan,” keluhnya.

Berdasarkan tinjauan MalaysiaGazette, tiada siapa yang mengetahui siapa sebenarnya yang bertanggungjawab dalam meletakkan 11 buah penghadang batu konkrit berkenaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast