Hussein Omar Khan

SHAH ALAM – Polis berjaya menyelesaikan kes bunuh seorang doktor PhD di Kajang selepas menangkap enam suspek termasuk dua daripadanya wanita dan seorang rakan serumah mangsa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan daripada rakan serumah mangsa, mengenai kehilangan doktor berusia 41 tahun itu pada 26 April lalu.

Dalam siasatan itu, pada 27 April lalu,  kira-kira pukul 4 petang, sepasukan polis Kajang telah menangkap tiga lelaki dan dua wanita tempatan sekitar Kajang dan Ampang.

“Hasil siasatan, seorang dari suspek yang berusia lewat 30-an mengaku telah membunuh doktor terbabit dan membawa polis ke lokasi mayat dibuang.

“Polis turut menemui dan merampas beberapa barang kes lain berkaitan kejadian seperti lima telefon bimbit termasuk satu daripadanya milik mangsa dan sebuah kereta jenis Perodua Axia milik seorang suspek.

“Suspek mengakui pada mulanya berniat untuk menculik mangsa bagi mendapatkan wang tebusan untuk menyelesaikan masalah kewangan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hussein berkata, mengikut laporan itu, pengadu iaitu rakan serumah mangsa memaklumkan doktor berkenaan, seorang India Muslim telah menghilangkan diri, tidak dapat dikesan selepas membuat perjumpaan dengan seorang rakan perniagaan pada 26 April kira-kira pukul 11 pagi di sebuah restoran makanan di Jalan Broga, Semenyih.

Katanya, pengadu memaklumkan selepas kejadian pada hari sama, mangsa ada menghantar satu pesanan ringkas melalui telefon bimbitnya menyatakan, dia masih berjumpa dengan rakan perniagaannya itu.

Bagaimanapun, jelas beliau, mangsa turut memintanya supaya memasukkan sejumlah wang syarikat miliknya ke dalam satu akaun sebuah syarikat tidak dikenali.

“Selepas itu, telefon bimbit mangsa tidak dapat dihubungi dan pengadu bersama keluarga mangsa berasa curiga serta bimbang dengan keselamatan doktor berkenaan.

“Rentetan daripada kejadian itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana cuba melakukan pemerasan dengan niat melakukan jenayah dan siasatan lanjut dijalankan,” ujarnya.

Berdasarkan keterangan suspek, kes diklafikasikan semula kepada kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Beliau berkata, motif kejadian adalah untuk mendapatkan wang perniagaan milik mangsa kerana suspek menyangka suspek doktor itu seorang yang kaya berikutan memiliki rangkaian klinik persendirian.

Sebelum itu, jelasnya, keluarga mangsa sempat memasukkan wang berjumlah lebih RM20,000 ke akaun berkenaan tetapi suspek meminta jumlah yang lebih iaitu RM200,000 untuk kali kedua.

“Namun wang tebusan kali kedua tidak dipenuhi oleh ahli keluarga mangsa yang dipercayai punca doktor itu dibunuh,” katanya. – MalaysiaGazette