KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan hari ini menyerahkan cek cura berjumlah RM56,412,369.60 untuk imbuhan tahunan dan elaun kepada 11,558 guru KAFA, imam, bilal, siak dan guru takmir di Selangor.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, cek itu telah dipersembahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Na’im Mokhtar kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.
“Sukacita dimaklumkan Kerajaan Persekutuan hari ini telah menyerahkan cek cura Peruntukan Kewangan Jakim bagi tahun 2023 untuk Selangor.
“Agihan berjumlah RM56,412,369.60 itu merupakan imbuhan tahunan dan elaun kepada 11,558 guru KAFA, imam, bilal, siak dan guru takmir seluruh Selangor dan Menteri telah mempersembahkan peruntukan itu kepada Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut beliau, perincian peruntukan itu ialah pembayaran imbuhan RM850 sebulan kepada 752 imam, elaun RM900 sebulan kepada 242 guru takmir, elaun RM1,261.35 sebulan kepada 2,800 guru KAFA, caruman Perkeso RM232.80 sebulan kepada 2,482 imam, bilal, siak dan guru takmir.
Peruntukan itu, katanya, termasuk bayaran khas one-off sebanyak RM600 kepada 752 imam, 1,488 bilal dan siak, 242 guru takmir dan 2,800 guru KAFA.
“Peruntukan kewangan Jakim kepada Selangor ini sebahagian daripada RM1.5 bilion bajet pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam tahun 2023 yang telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat Februari lalu.
“Semoga dengan peruntukan itu, pengurusan hal ehwal Islam di negara ini akan dapat terus diperkasakan bagi membina generasi berjaya yang berkualiti selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya. – MalaysiaGazette