Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang disyaki bersubahat dengan pegawai sebuah jabatan kerajaan dalam urusan pindah milik tanah seorang individu menggunakan dokumen palsu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Suspek warga tempatan berusia 40 tahun itu ditahan pada jam 1.55 petang di pejabat SPRM Selangor ketika diminta hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan lanjut.

Menurut sumber, kegiatan suspek terbongkar selepas waris pemilik tanah itu mengesahkan penama yang merupakan bapanya telah pun meninggal dunia dan tanah tersebut tidak pernah dipindah milik kepada mana-mana pihak.

“Suspek yang bekerja sendiri dipercayai bersubahat dengan seorang pegawai sebuah jabatan kerajaan di sebuah daerah di Selangor.

“Ini bagi urusan pindah milik tanah milik seorang individu yang telah meninggal dunia kepada seorang individu lain tanpa pengetahuan waris pemilik tanah berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek lelaki tersebut.

Kata beliau, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor esok (Rabu) pada jam 9 pagi untuk permohonan reman bagi membantu siasatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette