KLUANG – Empat individu termasuk seorang wanita warga Vietnam dan seorang wanita tempatan ditahan bersama dadah jenis syabu dan ganja, seberat hampir empat kilogram bernilai RM200,000, di sebuah rumah teres di Taman Delima 3, di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh berkata, kesemua suspek berusia 26 hingga 34 tahun itu direman enam hari hingga 6 Mei ini.

Katanya, polis turut menyita dua kereta beserta wang tunai berjumlah RM158,150 dan dadah yang dirampas itu mampu menampung lebih 7,000 penagih.

“Siasatan awal mendapati dadah yang dirampas adalah untuk pasaran sekitar Kluang dan daerah berhampiran, selain suspek baru menyewa rumah berkenaan sekitar dua bulan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, di sini, hari ini.

Bahrin berkata, tiga suspek warga tempatan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan kesemua yang ditahan didapati positif dadah.

Beliau berkata, sejak Januari hingga 30 April lepas, pihaknya menahan 406 individu melibatkan pelbagai kesalahan dadah dengan nilai keseluruhan rampasan hampir RM3 juta. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast