Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali diiringi anggota polis berjalan keluar selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Permohonan pasukan pembelaan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk menangguhkan hukuman penjara 12 tahun sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi ditolak Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi menetapkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara yang dijatuhkan hari ini serta merta.

Izralizam berkata, mahkamah tidak dapat membenarkan penangguhan hukuman itu kerana tidak ada keadaan luar biasa.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad menyatakan pembelaan tidak menunjukkan wujud keadaan khas yang membolehkan mahkamah menguna kuasa budi bicara untuk menangguhkan hukuman.

Menurutnya, pembelaan menyatakan pemohon yang perlu menanggung ibu yang sakit, tidak boleh dijadikan faktor khas, kerana bukan individu itu yang dituduh di mahkamah, sebaliknya Siti Bainun.

“Mereka juga membangkitkan bahawa tertuduh menggunakan isu masalah kesihatan sedangkan kemudahan perubatan di penjara Malaysia tersedia setiap masa,” katanya.

Siti Bainun dijatuhkan hukuman 12 tahun penjara atas dua dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down, Bella, tiga tahun lalu.

Hakim bicara mensabitkan hukuman itu terhadap Siti Bainun selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala 12 tahun untuk kesalahan kedua.

Bagaimanapun wanita itu hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak daripada tarikh sabitan bermula hari ini.

Sebelum ini, Siti Bainun diarah membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Terdahulu ketika prosiding, peguam Siti Bainun, Mohammad Farhan Maaruf memaklumkan pihaknya telah memfailkan notis rayuan sejurus selepas hukuman dijatuhkan mahkamah.

Tambah beliau, pihaknya telah menyertakan 16 isu persoalan undang-undang untuk hujahan, antaranya rayuan sabitan dan hukuman difailkan di Mahkamah Tinggi maka ia perlu didengar dan diputuskan terlebih dahulu.

Menurut Farhan, anak guamnya tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah dan ini merupakan kesalahan pertamanya. – MalaysiaGazette