Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali diiringi anggota polis berjalan keluar selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down, Bella.

Ketika membacakan keputusan, dalam nada tegas Hakim Izralizam Sanusi mahu hukuman itu menjadi pengajaran kepada pihak lain agar kesalahan terhadap kanak-kanak tidak lagi berlaku pada masa depan.

“Saya membuat ketetapan ini selepas mempertimbangkan dan ambil maklum semua hujah-hujah pembelaan dan pendakwaan. Ingin saya nyatakan sabitan kesalahan mengabaikan dan menganiaya ini adalah amat serius.

“Kecederaan terhadap Bella adalah serius sehingga ianya meninggalkan parut dalam hidup remaja itu. OKT (Siti Bainun) telah terbukti melakukan kesalahan menganiayai dan mengabaikan Bella. Ini adalah satu tindakan kejam yang dilakukan oleh OKT dan hukuman berat perlu diberikan kerana kekejaman ini.

“Sebagai seorang aktivis masyarakat yang terlibat dengan kanak-kanak, OKT sepatutnya lebih bertanggungjawab dan amanah, hukuman yang saya putuskan ini adalah untuk kepentingan awam juga.

“Mahkamah dengan ini menjatuhkan memerintahkan Siti Bainun dipenjara 10 tahun bagi pertuduhan pertama dan 12 tahun untuk kesalahan kedua dengan masing-masing bermula dari tarikh sabitan. Semua hukuman semua hukuman penjara berjalan serentak,” katanya hari ini.

Mahkamah juga menetapkan 200 jam khidmat sosial selepas tamat tempoh penjara dan perlu menandatangani bon berkelakuan baik dengan penjamin serta cagaran sebanyak RM5,000.

Hakim juga ketika membacakan keputusannya turut mengemukakan lapan alasan tertuduh bersalah dan antaranya keterangan mangsa tercedera akibat air panas adalah keterangan hearsay (dengar cakap).

“Mahkamah mendapati kecederaan Bella bukan setakat air panas seperti dikatakan pembelaan malah pakar perubatan merumuskah mangsa mempunyai banyak kecederaan pada tubuhnya.

“Pendakwaan juga berjaya membuktikan mangsa sebenarnya telah mangsa dianiaya di bawah penjagaan tertuduh,” ujarnya.

Sebelum ini, Siti Bainun diarah membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Terdahulu ketika prosiding, peguam mewakili Siti Bainun turut merayu kepada mahkamah untuk mempertimbangkan faktor saiz badan dan tahap kesihatan Siti Bainun dalam mengenakan hukuman terhadap anak guamnya.

Hujah peguam tertuduh, Mohammad Farhan Maaruf berkata, pihaknya mahu mahkamah mempertimbangkan hukuman denda yang mampu anak guamnya melunaskannya jika dikenakan pada jumlah maksimum memandangkan ini kali pertama melakukan kesalahan ini.

“Jika hukuman pemenjaraan dikenakan terhadapnya, ia akan menjejaskan kesihatannya, harap hukuman penjara boleh digantikan dengan hukuman denda maksimum sebagaimana yang terkandung dalam undang-undang.

Namun Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana pertuduhan terhadap Siti Bainun adalah serius.

“Hampir keseluruhan badan Bella mengalami luka lecur dan terdapat beberapa parut yang mana ia akan kekal seumur hidupnya.

“Ini bukan sahaja kecederaan fizikal malah mahkamah perlu menjatuhi hukuman ke atas tertuduh kerana ia menjejaskan emosi mangsa,” tegasnya.

Ketika ini mahkamah ditangguh sebentar bagi memberi laluan kepada pasukan pembelaan berhujah untuk menangguhkan hukuman terlebih dahulu bagi proses rayuan di Mahkamah Tinggi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Siti Bainun didapati bersalah aniaya Bella

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Siti Bainon jangan resah…
    Rapat dengan Najib Razak kan…
    Berganding dengan Zahid Hamidi kan…
    suruh Wak Welanon appears pengampunan
    beres…. mudah….
    kata ANWAR IBRAHIM semua BANDUAN ADA HAK dapat pengampunan
    sedaplah tu…

Comments are closed.