PUTRAJAYA – Seorang ibu rakyat Malaysia serta suaminya warga Sudan dan dua anaknya yang terperangkap di wilayah Al Gaza ekoran konflik di Sudan, kini dalam perjalanan menuju ke Port Sudan.
Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), usaha membawa mereka keluar dikendalikan oleh Taskforce Ops Sudan dan mereka dijangka tiba ke destinasi itu pada Rabu (3 Mei).
Keluarga itu tidak berdaftar dengan kedutaan Malaysia dan maklumat mengenai mereka diterima melalui Facebook Messenger Kedutaan Besar Malaysia di Sudan pada 30 April lalu.
Kementerian melalui Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi dan Duta Besar Malaysia ke Sudan sedang memohon bantuan Kerajaan Arab Saudi serta Kedutaan Besar Pakistan di Sudan supaya mereka dapat menaiki kapal untuk dibawa keluar dari Port Sudan ke Jeddah dalam masa terdekat, menurut kenyataan itu.
Selain itu, dua rakyat Malaysia yang menyertai misi United Nations Interim Security Force for Abyei (UNISFA) di wilayah Abyei dalam keadaan selamat kerana setakat ini wilayah itu tidak terjejas teruk.
Mereka ialah Mejar Zazalina Ghazali dan Lt. Kdr. Naadifarin Che Kamaruddin dan jika keadaan memerlukan, proses membawa kedua-dua mereka akan dikendalikan oleh pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sebelum ini, pada 28 April, kerajaan Malaysia telah berjaya membawa pulang 30 orang rakyatnya ke tanah air menerusi penerbangan Saudi Airlines (SV834).
Pertempuran di antara Angkatan Tentera Sudan (SAF) dengan pasukan separa tentera, Rapid Support Forces (RSF) yang tercetus sejak 15 April 2023 masih berlarutan dan semakin sengit dengan usaha untuk mencapai gencatan senjata masih gagal.
Menurut laporan Kementerian Kesihatan Sudan, seramai 528 orang telah terbunuh manakala 4,599 lagi cedera akibat konflik itu. – Bernama