KUALA LUMPUR – Pemimpin Pakatan Harapan (PH) diingatkan agar tidak masuk campur dalam agenda memperkasakan semula kedudukan orang Melayu yang dicetuskan bekas Tun Dr Mahathir Mohamad melalui Proklamasi Orang Melayu.
Pengerusi Biro Mobilisasi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, wadah perjuangan Dr Mahathir dengan pemimpin-pemimpin Melayu lain hanyalah untuk mengenalpasti permasalahan orang Melayu.
Menurutnya, ia bertujuan mencari solusi terbaik demi menjadikan bangsa Melayu yang progresif, maju, berdaya saing, bersifat amanah, berdisiplin serta mampu berdikari dalam segenap bidang yang diceburi.
Justeru itu, beliau menegaskan, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad dan PH tidak harus ‘takut pada bayang-bayang sendiri’.
“Kami adalah bangsa Melayu yang baik dan senantiasa menghormati hak kaum-kaum lain di negara kita sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.
“Jati diri Melayu kami mahu mewujudkan sebuah negara yang harmonis dan berkasih sayang di antara kaum-kaum tanpa kira bangsa mahupun agama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Khairuddin berkata, pada masa sama dilema Melayu mesti ditangani secara terbaik mungkin bagi mewujudkan satu bangsa yang dihormati oleh semua pihak baik dalam mahu pun luar negara.
Katanya, pemimpin-pemimpin Melayu PH tidak perlu gusar dan takut dengan penyatuan Melayu di bawah gerakan Proklamasi Orang Melayu yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad bersama tokoh-tokoh Melayu lain.
“Bekas Perdana Menteri dua kali ini (Dr Mahathir) bercakap mengenai bangsa Melayu sudah hampir 80 tahun dan kepimpinan beliau harus dijadikan sebagai contoh kepimpinan Melayu yang terbaik pada hakikatnya.
“Perlembagaan Persekutuan mengizinkan orang-orang Melayu berbicara mengenai hak-hak kaum Melayu,” ujarnya.
Katanya lagi, orang Melayu berhak berbicara dan menyelesaikan permasalahan orang-orang Melayu dan ia tidak salah di sisi undang-undang serta tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan asalkan tiada unsur provokasi terhadap mana-mana bangsa, agama dan institusi diraja.
“Akhir kata, Khalid berhak untuk memeluk DAP seerat mungkin kerana itu adalah hak mereka tetapi dalam masa yang sama Sekretariat Proklamasi Orang Melayu juga berhak untuk memperbetulkan segala dilema bangsa Melayu seperti mana hak-hak orang-orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Khairuddin berkata, pendirian pemimpin Melayu PH dihormati namun dalam masa yang sama mereka termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga harus menghormati prinsip perjuangan Sekretariat Proklamasi Orang Melayu.
“Hanya orang bodoh dan cacat minda saja yang akan berkata bercakap mengenai nasib masa depan orang-orang Melayu itu adalah berunsur perkauman,” katanya.
Terdahulu, Khalid dalam satu kenyataan semalam menyifatkan pertemuan Dr Mahathir dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai satu ‘Kesepakatan Ahza’ untuk porak perandakan negara.
Ujarnya, jelas sekali pertemuan dua pemimpin berkenaan dalam satu pakatan yang boleh menjatuhkan kerajaan. – MalaysiaGazette
Din Sardin, nk masuk musim pilihanraya kau muncul balik. Baru keluar gua ka? Abis pilihanraya compom kau masuk gua balik. Harap terus mereput dalam gua dan jangan cuba2 keluar balik.
Betul tu…
DSAI kena tegas.. Sumbat mereka2 yang membuat hasutan.. Sumbat mereka2 yg ada agenda utk menjatuhkan kerajaan.. Semua yang terlibat ini bukan kerana mereka gila kuasa tetapi lebih fobia dengan perkataan SUNGAI BULOH