Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-75 dan Perasmian Ibu Pejabat Bulan Sabit Merah Malaysia di Ibu Pejabat Bulan Sabit Merah Malaysia, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Parti pembangkang diminta mengemukakan surat akuan bersumpah (SD) daripada Ahli Dewan Rakyat pada persidangan Parlimen akan datang bagi membuktikan mereka memiliki calon Perdana Menteri baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia boleh diusulkan dan tidak menjadi masalah jika benar pembangkang memiliki SD dan majoriti yang mencukupi.

“Tak apalah kalau dia ada, masa Parlimen bawalah SD. Usul di Parlimen, tidak ada masalah.

“Ini tiap-tiap minggu dia jadi mengigau mingguan. Sebelum puasa, sebelum raya, sebelum dan selepas raya haji, sebelum Thaipusam, Tahun Baru Cina, tunggulah.

“Tapi Insya-Allah kita Kerajaan Perpaduan kekal penuh sehingga pilihan raya akan datang. Saya sangat yakin,” katanya selepas majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-75 dan Perasmian Ibu Pejabat Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), di sini, hari ini.

Anwar diminta mengulas dakwaan Perikatan Nasional kini memiliki SD yang memberi sokongan majoriti kepada Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menjadi Perdana Menteri baharu.

Difahamkan, surat akuan itu melebihi 120 jumlah Ahli Parlimen dan akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebaik pulang dari London. – MalaysiaGazette