Ruslin Jusoh meninjau proses laluan masuk kenderaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan melaksanakan formula baharu di pintu keluar masuk di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bagi mengatasi kesesakan.

Ia membabitkan semua kaunter JIM akan dibuka pada waktu puncak di pintu keluar masuk laluan darat di Tambak Johor dan Gelang Patah berikutan tiada kakitangan di kaunter disebabkan pertukaran syif pada jam 7 pagi sebelum ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, isu kesesakan di kedua-dua pintu masuk dan keluar negara itu dibincangkan pada minggu lalu dan kajian untuk mengatasi masalah tersebut masih dilakukan.

“JIM tidak mahu ketika pertukaran shif ada kaunter yang kosong. Walaupun sekejap 5 hingga 10 minit apabila seseorang itu tamat bertugas, sebagai contoh dia terpaksa keluar kerana tempoh bekerja telah tamat tetapi apa yang kita boleh pastikan adalah waktu itu tiada pertukaran syif.

“Mungkin waktu sesuai (pertukaran syif) selepas waktu kemuncak. Kita akan umumkan kemudian mengenai hal ini,” katanya pada sidang media selepas meninjau Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di BSI, di sini, hari ini.

Menurut Ruslin, bagi membolehkan kesemua 284 kaunter dibuka pada waktu puncak, seramai 231 pegawai Imigresen yang akan tamat latihan pada 20 Mei ini akan ditempatkan di lokasi berkenaan.

Tambah beliau, ketika ini CIQ BSI mempunyai 1,074 kakitangan Imigresen berbanding 1,347 kakitangan yang diperlukan.

“Untuk itu JIM akan menempatkan 100 lagi kakitangan baharu di CIQ BSI akhir Mei ini susulan sebanyak 700 perjawatan baharu Imigresen sudah diluluskan kerajaan tahun ini dengan sebahagian besarnya akan diletakkam di CIQ BSI, KSAB selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang mengalami kekurangan kakitangan,” ujarnya.

Ruslin berkata, JIM juga menempatkan sebanyak 20 pasukan tindakan pantas (QRT Team) bagi membolehkan penggantian kakitangan Imigresen dan pembukaan kaunter dilakukan secara maksimum pada waktu puncak.

“Tambahan 20 lagi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut ditempatkan di CIQ BSI bagi membantu dan menyegerakan penyuraian trafik di Tambak Johor bagi mengelakkan berlakunya kesesakan,” katanya. – MalaysiaGazette