Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Pandangan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengenai Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak lebih daripada ungkapan retorik.

Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali menegaskan, ungkapan itu sekadar untuk memancing sentimen orang Melayu dan mendapatkan mileage kepadanya sebagai orang politik.

“Saya kata pandangan retorik kerana beliau (Hassan) membangkitkan perkara ini tanpa memberi sebarang rancangan jelas dari segi pelaksanaannya.

“Oleh itu, saya minta Hassan menyenaraikan langkah konkrit untuk melaksanakan idea seperti yang beliau lontarkan. Barulah idea beliau itu membawa makna.

“Ini tidak, dia seolah menyalah dan meletakkan keseluruhan beban ke atas bahu Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung setiap kelemahan pelaksanaan Perkara 153,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau mengulas kenyataan Hassan pada Khamis lalu yang dilaporkan berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim wajib meneliti semula Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkenaan peruntukan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera.

Katanya, dasar afirmatif dalam peruntukan itu perlu dilaksana lebih kreatif dengan menghentikan dasar monopoli yang hanya menguntungkan segelintir elit Melayu.

“Anwar perlu, malah wajib revisit atau melihat kembali lebih fokus dan teliti Perkara 153 berkenaan peruntukan kedudukan istimewa orang Melayu, bumiputera,” kata Hassan.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, tuduhan Ahli Parlimen PKR itu tidak adil kerana banyak lagi faktor lain mengekang kelancaran program pelaksanaan hak orang Melayu dan bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jelas beliau, ini termasuk sikap kebanyakan pemimpin dan orang Melayu sendiri yang tidak ikhlas, tamak serta suka mengambil jalan pintas untuk mencapai kejayaan.

“Tidak dinafikan sejak mencapai kemerdekaan, kaum Melayu dan bumiputera dari seluruh julat masyarakat telah menikmati sedikit sebanyak hasil program khas untuk mereka.

“Namun tidak boleh dinafikan juga, terdapat banyak kepincangan dalam pelaksanaan dasar untuk memenuhi matlamat peruntukan Perkara 153.

“Seterusnya, tidak dinafikan sama sekali betapa pelaksanaan dasar dalam penghayatan Perkara 153 perlu dikaji, disusun, dirancang dan diperkasa semula,” katanya.

Beliau berkata, kini semangat dan peruntukan Perkara 153 tidak lagi dipedulikan dalam apa jua bentuk Dasar Pembangunan dan Belanjawan Negara kecuali sekadar sedikit cebisan di sana sini.

Jika diambil kira Perkara 153, sepatutnya semua dasar wajib berpandukan kepada agenda Melayu dan bumiputera sebagai Agenda Nasional.

Seharusnya, kata Ibrahim lagi, semangat Perkara 153 juga wajib diterjemahkan kepada pembahagian kek ekonomi negara mesti adil antara kaum mengikut nisbah jumlah setiap kaum dalam semua aspek dan peringkat, bukan setakat B40 sahaja.

“Selagi jurang kedudukan ekonomi masih lebar antara kaum, maka dasar dan tindakan afirmatif wajib dilaksanakan secara agresif kerana pembahagian kek ekonomi yang adil antara kaum sahaja mampu menjamin keharmonian, perpaduan dan keselamatan negara.

“Hakikat depan mata kita sekarang ialah kebanyakan orang Melayu dan bumiputera masih miskin dan ketinggalan dari arus pembangunan negara. Mereka ini terdiri dari majoriti golongan B40.

“Orang bukan Melayu dan bukan bumiputera pula memang ada dalam golongan tersebut dan kita setuju mereka perlu dibantu melalui program khas. Namun, bilangannya dalam kumpulan B40 tidak seramai orang Melayu dan bumiputera,” ujar beliau.

Justeru, katanya, Proklamasi Orang Melayu yang dilancarkan Dr. Mahathir baru-baru ini adalah penegasan semula semangat asal Perkara 153 bagi menjamin kelangsungan kaum Melayu dan bumiputera sebagai kaum majoriti dan kaum asal negara, tetapi tetap menghormati hak kaum lain yang termaktub dalam Perlembagaan Negara. – MalaysiaGazette